Topic followed successfully
Go to BHku185 kes tambahan Covid-19 dikesan di kelompok CDPL Tuas Dormitory: MOH
185 kes tambahan Covid-19 dikesan di kelompok CDPL Tuas Dormitory: MOH
185 kes tambahan Covid-19 dikesan di kelompok CDPL Tuas Dormitory: MOH
KEMENTERIAN Kesihatan (MOH) mengesahkan 185 kes tambahan jangkitan Covid-19 yang dikaitkan dengan kelompok di CDPL Tuas Dormitory sekitar 6 Tuas South Street 15, menjadikan jumlah keseluruhan kes yang dikenal pasti dalam kelompok tersebut mencecah 1,875 kes kini.
Daripada butiran lanjut mengandungi perangkaan kes Covid-19 yang didedahkan MOH dalam kenyatannya malam ini (Selasa, 28 Julai), CDPL Tuas Dormitory adalah kelompok dengan jumlah kes tambahan terbanyak dan bilangan kes tertinggi dalam kelompok yang belum ditutup.
Kes dikenal pasti hasil siasatan epidemiologi di samping proses jejak kenalan lantas mengaitkan kes yang disahkan sebelum ini dengan kes baru.
Awal sebelum ini, MOH mendedahkan sebanyak 359 kes baru Covid-19 dikesan sehingga 12 tengah hari tadi (Selasa, 28 Julai). Sebilangan besarnya iaitu 356 kes merupakan pemegang permit kerja yang menetap di dormitori pekerja asing.
Menurut MOH, pihaknya terus mengenal pasti kes dalam kalangan pemegang permit kerja di dormitori ini termasuk di dormitori yang asalnya merupakan kilang kerana ujian yang berleluasa dikendalikan di ruang dormitori tersebut. Ia adalah sebahagian proses mengenal pasti dan menguji keadaan semua pekerja.
Terdapat dua kes import dari India dilaporkan hari ini. Mereka terdiri daripada pemegang pas kerja yang bertugas di Singapura dan seorang pemegang pas tanggungan. Kedua-duanya sudah diberi Notis Jangan Keluar Rumah (SHN) sejurus tiba di Singapura pada 12 dan 13 Julai lalu.
Satu kes masyarakat turut dikesan dengan kes tersebut dikenal pasti sebagai kenalan salah satu kes yang disahkan sebelum ini. Perintah kuarantin diberi dengan ujian dijalankan meskipun kes itu tidak menampakkan sebarang tanda jangkitan.
Sebanyak 201 kes pula sudah dibenarkan pulang dari hospital atau kemudahan pengasingan masyarakat. 185 kes lain pula masih dirawat di hospital dengan keadaan mereka mantap atau kian pulih.

