Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

2 buku kisah Geylang Serai dilancar

Oct 31, 2022 | 5:30 AM
KONGSI PENGALAMAN: Cik Dewani Abbas (kiri) dan Encik Djohan Abdul Rahman mengongsi pengalaman mereka menulis buku kedua dan ketiga dalam siri buku Cerita di Geylang Serai yang dilancarkan semalam. Bersama mereka ialah hos acara, Fiza O. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA
KONGSI PENGALAMAN: Cik Dewani Abbas (kiri) dan Encik Djohan Abdul Rahman mengongsi pengalaman mereka menulis buku kedua dan ketiga dalam siri buku Cerita di Geylang Serai yang dilancarkan semalam. Bersama mereka ialah hos acara, Fiza O. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA -

DUA lagi buku di bawah siri buku Cerita di Geylang Serai dilancarkan semalam, menceritakan tentang pelbagai bentuk perniagaan, tempat menarik, gerai makanan serta ruang sukan yang pernah wujud di kawasan itu.

Ini menjadikan sejumlah tiga buku yang telah pun diterbitkan oleh Wisma Geylang Serai di bawah siri itu sejauh ini.

Buku pertama, bertajuk Geylang Serai - Dalam Terowong Masa yang ditulis oleh penulis mapan, Cik Rasiah Halil, diterbitkan tahun lalu.

Buku kedua berjudul Geylang Serai - Gelanggang Perniagaan Orang Melayu setebal 57 muka surat dan ditulis oleh mantan wartawan akhbar ini, Cik Dewani Abbas.

Buku ketiga setebal 51 muka surat pula membawa tajuk Geylang Serai - Menyusuri Alur Kenangan dan ditulis oleh guru Bahasa Melayu, Encik Djohan A Rahman.

Ketiga-tiga buku itu ditulis dalam bahasa Melayu dan Inggeris, dengan gaya penulisan yang mudah dan selesa dibaca oleh semua lapisan masyarakat, kata Menteri di Pejabat Perdana Menteri merangkap Menteri Kedua (Ehwal Luar merangkap Pendidikan), Dr Mohamad Maliki Osman, dalam ucapannya di majlis pelancaran di Wisma Geylang Serai itu.

"Ini bertujuan mendekatkan sejarah Geylang Serai juga kepada mereka yang tidak fasih dan kurang faham bahasa Melayu," tambahnya yang juga pengerusi Jalur Budaya Geylang Serai.

Sebanyak 500 naskhah buku kedua dan ketiga telah dicetak dan akan diedarkan kepada agensi tertentu termasuk Perpustakaan Negara bulan depan. Lagi 800 naskhah akan dicetak untuk penggunaan murid-murid di sekolah.

Buku Geylang Serai - Gelanggang Perniagaan Orang Melayu antara lain akan membawa pembaca menemui penjual songkok yang dibuat secara tradisional, Encik Abdul Wahab Abdullah, pergi ke sebuah kedai cermin mata terkenal, Bustami Optical House, dan singgah di kedai karipap di Onan Road, Indian Muslim Bakery and Confectionary.

"Buku ini santai, dan walaupun tidak begitu mendalam, mesejnya diharap dapat tersemai dalam jiwa anak-anak muda tentang warisan kehidupan masyarakat Melayu di Geylang Serai," kata Cik Dewani yang mengambil masa tiga bulan untuk menyiapkan buku itu.

Buku Geylang Serai - Menyusuri Alur Kenangan pula menyingkap kenangan silam tiga sahabat, Rahman, Ah Guan dan Mandeep, sewaktu mereka membesar di Geylang Serai. Pembaca antara lain akan diperkenalkan dengan kawasan Kampung Melayu Kaki Bukit, Jalan Ambo Solo dan Jalan Kluang.

"Buku ini mengenai aspek sosial dan saya menjelaskan sedikit sebanyak tentang masyarakat yang pergi ke Pasar Geylang Serai khususnya pada Sabtu Minggu untuk membeli barang rumah, dan masyarakat yang pergi mengunjungi Perkampungan Melayu pada waktu itu. Ia merupakan satu usaha mendokumentasikan sejarah dalam bentuk naratif," kata Encik Djohan yang menyelesaikan buku itu dalam masa dua bulan.

"Ini bertujuan mendekatkan sejarah Geylang Serai juga kepada mereka yang tidak fasih dan kurang faham bahasa Melayu." - Menteri di Pejabat Perdana Menteri merangkap Menteri Kedua (Ehwal Luar merangkap Pendidikan), Dr Mohamad Maliki Osman mengenai siri buku 'Cerita di Geylang Serai' yang ditulis dalam bahasa Melayu dan Inggeris.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg