Topik diikuti
Pergi ke BHku2 faktor ditimbang sebelum pembukaan SG seterusnya: Ye Kung
2 faktor ditimbang sebelum pembukaan SG seterusnya: Ye Kung
TERDAPAT dua faktor yang perlu dipertimbangkan sedang Singapura memikirkan langkah seterusnya dalam pembukaan semula, kata Menteri Kesihatan, Encik Ong Ye Kung, semalam.
Yang pertama ialah keseluruhan situasi Covid-19 di sini, dengan pihak berkuasa terus memantau rapat kapasiti hospital dan bilangan kes yang teruk.
Pihak berkuasa juga akan meneliti risiko yang boleh mencetus gelombang jangkitan yang seterusnya, seperti varian baru yang menjadi keprihatinan.
"Ia berkenaan tindakan mengimbangi dua pertimbangan itu, walaupun sedang kami mengambil langkah selanjutnya," kata Encik Ong, yang merupakan pengerusi bersama Pasukan Bertindak Berbilang Kementerian (MTF) bagi Covid-19.
Beliau menarik perhatian kes Covid-19 terus merosot, walaupun Singapura telah melonggarkan sekatan dengan ketara pada bulan lalu.
Sebarang pelonggaran lanjut akan dilakukan dalam lima perkara: saiz kumpulan, pemakaian pelitup, peraturan tempat kerja, penjarakan selamat dan had kapasiti.
"Saya fikir pendekatan kami adalah sentiasa tidak melampaui batas.
"Sentiasa lakukan sesuatu dengan cara yang sederhana; sentiasa berhati-hati. Itu sentiasa menjadi pendekatan kami dan ia telah memberi manfaat kepada kami," kata Encik Ong.
Beliau berkata demikian di luar acara kemasyarakatan di kawasan Sembawang, di mana beliau membantu mengagihkan habuan kepada penduduk menjelang sambutan Hari Raya.
Lebih 200 bungkusan habuan itu diagihkan di Sembawang dan Choa Chu Kang semalam sebagai sebahagian daripada acara Meat-for-Eid, anjuran Jamiyah Singapura.
Sebanyak 2,000 bungkusan makanan akan diberikan kepada penduduk di sembilan kawasan sepanjang tiga hujung minggu, dan turut diberikan kepada benefisiari Jamiyah.
Setiap bungkusan mengandungi satu kilogram beras basmati, dua kilogram daging, dua ekor ayam, pes rendang, ketupat, kurma dan serondeng.
Naib presiden kanan di Jamiyah Singapura, Dr Isa Hassan, berkata acara amal tahunan itu membawa mesej yang mendalam tentang bulan Ramadan.
"Selain berpuasa, ia juga mengenai perasaan simpati dan empati terhadap golongan kurang berada," katanya sambil menambah ia juga membantu mengeratkan jalinan dalam masyarakat.
Salah seorang yang menerima habuan makanan itu ialah Cik Khatijah Sarbini, yang tinggal di Sembawang.
Wanita berusia 60 tahun itu berkata Hari Raya disambut dengan kurang meriah sepanjang dua tahun lalu.
"Jadi kami sangat gembira tahun ini. Saya mahu melawat keluarga, jiran dan rakan saya," kata Cik Khatijah, yang bekerja sebagai atendan van secara sambilan.
"Saya fikir pendekatan kami adalah sentiasa tidak melampaui batas.
Sentiasa lakukan sesuatu dengan cara yang sederhana; sentiasa berhati-hati. Itu sentiasa menjadi pendekatan kami dan ia telah memberi manfaat kepada kami." - Menteri Kesihatan, Encik Ong Ye Kung.