Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

2 inisiatif TAA sokong anak-anak benefisiari

Program Sinar Harapan sokong pendidikan posmenengah; Sinar Bakti galak jadi relawan
Jun 30, 2024 | 3:04 PM
(Dari kiri) Ketua Jawatankuasa Eksekutif TAA, Encik Najib Sahib, Menteri Negara (Perhubungan dan Penerangan merangkap Kesihatan), Cik Rahayu Mahzam, Setiausaha lembaga pemegang amanah TAA, Encik Ameerali Abdeali dan Timbalan Ketua Jawatankuasa Eksekutif TAA, Encik Firdaus D’cruz, melancarkan inisiatif Sinar Harapan dan Sinar Bakti di majlis pelancaran di Singapore Expo pada 29 Jun.
(Dari kiri) Ketua Jawatankuasa Eksekutif TAA, Encik Najib Sahib, Menteri Negara (Perhubungan dan Penerangan merangkap Kesihatan), Cik Rahayu Mahzam, Setiausaha lembaga pemegang amanah TAA, Encik Ameerali Abdeali dan Timbalan Ketua Jawatankuasa Eksekutif TAA, Encik Firdaus D’cruz, melancarkan inisiatif Sinar Harapan dan Sinar Bakti di majlis pelancaran di Singapore Expo pada 29 Jun. - Foto DANA AMANAH TAA

Dana Amanah Tabung Amal Aidilfitri (TAA) telah melancarkan dua inisiatif bagi menyokong penerima bantuan yang mempunyai anak-anak yang sedang melanjutkan pendidikan ke peringkat posmenengah.

Dua inisiatif berkenaan – dikenali sebagai Sinar Harapan dan Sinar Bakti – bertujuan memperkasakan penerima bantuan TAA dan meringankan beban kewangan mereka selain memupuk semangat kesukarelawan dalam kalangan belia.

Sekurang-kurangnya 600 pelajar daripada 400 keluarga dijangka meraih manfaat daripada dua inisiatif tersebut.

Berkongsi butiran lanjut mengenai daya usaha itu, Ketua Jawatankuasa Eksekutif TAA, Encik Najib Sahib, berkata inisiatif Sinar Harapan diperkenalkan bagi tujuan mengiktiraf ketabahan dan keazaman penerima bantuan dalam menyara pendidikan posmenengah anak-anak mereka meskipun berdepan cabaran ekonomi.

Ia juga bertujuan membantu meringankan sedikit beban kewangan keluarga tersebut.

Di bawah program itu, setiap keluarga yang merupakan benefisiari TAA akan menerima bantuan kewangan sekali sahaja sebanyak $500 untuk setiap anak yang telah mereka daftarkan dalam pendidikan posmenengah.

Setiap kanak-kanak yang layak dijemput untuk menghadiri acara Sinar Harapan. Mereka akan bertemu dengan belia lain daripada latar belakang yang sama dan mengambil bahagian dalam perbincangan panel.

Dalam ucapannya semasa majlis pelancaran, Encik Najib menambah bahawa beliau menjangkakan inisiatif itu akan memberi manfaat kepada seramai 400 keluarga, menyokong sekitar 600 pelajar secara keseluruhannya.

“Sinar Harapan menekankan komitmen TAA untuk memperkasakan keluarga dan memastikan kesusahan ekonomi tidak menghalang usaha pendidikan anak-anak mereka.

“Dengan menyediakan bantuan kewangan melalui program seperti Sinar Harapan, kami menyasarkan untuk mengurangkan kitaran kesusahan antara generasi bagi keluarga ini,” tambahnya.

Sementara itu, Sinar Bakti, merupakan inisiatif terbaru TAA yang bertujuan memperkasakan golongan belia melalui kerja sukarela.

Di bawah program tersebut, anak-anak penerima bantuan akan ditugaskan membantu organisasi kebajikan atau perkhidmatan sosial Islam selama enam bulan.

Setiap belia akan menerima sebanyak $100 setelah mereka melengkapkan lapan jam kerja sukarela sebulan dengan organisasi ahli TAA.

Inisiatif tersebut bertujuan memupuk semangat memberi kembali kepada masyarakat dan menggalakkan nilai positif seperti kebertanggungjawaban dan disiplin dalam diri golongan belia, tambah Encik Najib.

Kededua inisiatif itu dilancarkan oleh Menteri Negara (Perhubungan dan Penerangan merangkap Kesihatan), Cik Rahayu Mahzam, di satu majlis pelancaran di Singapore Expo pada 29 Jun.

Ketika menyampaikan ucapan beliau, Cik Rahayu berkata bahawa Sinar Harapan berfungsi sebagai alat untuk TAA dan masyarakat Melayu/Islam menunjukkan kepercayaan mereka terhadap potensi golongan belia dan untuk memberikan sokongan tidak berbelah bagi kepada mereka di setiap peringkat.

Cik Rahayu menekankan bahawa keadaan semasa tidak menentukan masa depan seseorang, sambil menyatakan bahawa impian, aspirasi, dan kerja keras adalah penentu kejayaan sebenar.

Beliau juga berkata kepentingan pendidikan sebagai alat berkuasa yang boleh membuka peluang dan membantu memecahkan kitaran kemiskinan.

“Sasar yang tinggi dalam memburu pencapain akademik anda, dan jangan putus asa dengan cabaran sementara.

“Setiap langkah yang anda ambil ke arah pembelajaran dan pertumbuhan membawa anda lebih dekat kepada masa depan yang lebih cerah dan makmur.

“Kepada belia di sini hari ini, saya menggesa anda agar merebut peluang yang ada di hadapan anda.

“Berusaha untuk mencapai kecemerlangan dalam pelajaran anda, kejar impian anda dengan penuh semangat, dan ketahui bahawa masyarakat anda sentiasa berdiri di belakang anda,” ujar beliau.

Sekitar 300 kanak-kanak penerima bantuan yang layak, bersama-sama wakil daripada pelbagai organisasi Islam dan entiti korporat, menghadiri majlis tersebut.

Acara pelancaran itu turut menampilkan 10 pertubuhan sosial dan kebajikan Islam yang mempromosikan kegiatan mereka selain menggalak para pelajar menjadi sukarelawan di bawah inisiatif Sinar Bakti.

Organisasi yang mengambil bahagian antara lain, termasuk AMP Singapura, Persatuan Bertindak Ginjal bagi Masyarakat Islam (MKAC), Persatuan Dana Amanah Muslimin (MTFA), Pertapis Singapura, Persatuan Pemudi Islam Singapura (PPIS), dan Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Singapura (DPPMS).

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg