Topik diikuti
Pergi ke BHku2 lelaki didakwa berkaitan kejadian di Sekolah Red Swastika

2 lelaki didakwa berkaitan kejadian di Sekolah Red Swastika
POLIS dan Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) akan mendakwa dua lelaki kerana disyaki terlibat dalam kejadian yang berlaku di Sekolah Red Swastika pada 11 Januari 2022.
Dua lelaki itu ialah pemandu kereta berusia 61 tahun dan pemilik kereta berusia 28 tahun.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Selasa (10 Mei), polis berkata mereka menerima laporan pada sekitar 11.40 pagi pada 11 Januari lalu berkaitan seorang pemandu yang didakwa cuba membahayakan nyawa seorang pengawal keselamatan sekolah itu.
Sekitar 3.35 petang pada hari yang sama, polis menangkap pemandu kereta itu atas kesalahan bertindak dengan terburu-buru sehingga menyebabkan kecederaan.
Siasatan lanjut oleh polis dan LTA mendedahkan bahawa nombor plat kenderaan itu telah diubah dan pemandu telah memandu kenderaan tersebut tanpa perlindungan insurans.
Pemandu itu akan didakwa di mahkamah atas kesalahan bertindak dengan terburu-buru sehingga menyebabkan kecederaan dan memandu kenderaan tanpa insurans esok.
Pemilik kenderaan itu, yang juga anak lelaki pemandu tersebut, juga akan didakwa di mahkamah esok atas kesalahan mengubah nombor plat dan membenarkan individu lain memandu kenderaannya tanpa perlindungan insurans.
Jika disabit kesalahan bertindak dengan terburu-buru sehingga menyebabkan kecederaan, pesalah boleh dipenjara sehingga setahun atau didenda sehingga $5,000, atau kedua-duanya.
Jika disabit kesalahan mengubah nombor plat kenderaan, pesalah boleh dipenjara sehingga setahun atau didenda tidak melebihi $5,000 atau kedua-duanya.
Jika disabit kesalahan memandu atau membenarkan orang lain memandu kenderaan tanpa perlindungan insurans, pesalah boleh dipenjara sehingga tiga bulan, didenda tidak melebihi $1,000 atau kedua-duanya.
Pesalah juga akan hilang kelayakan daripada memegang atau mendapatkan lesen memandu bagi tempoh 12 bulan dari tarikh sabitan.