Topik diikuti
Pergi ke BHku2 pasar, pusat penjaja ditutup 3 hari bagi kerja pembersihan
2 pasar, pusat penjaja ditutup 3 hari bagi kerja pembersihan
2 pasar, pusat penjaja ditutup 3 hari bagi kerja pembersihan
PASAR dan pusat makanan di Geylang Bahru dan Bendemeer ditutup untuk kerja-kerja pembersihan dan membasmi jangkitan selama tiga hari mulai hai hari ini selepas kes Covid-19 dikesan di kalangan pekerja dan penjaja.
Dalam satu kenyataannya, Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) berkata penutupan kededua pasar dan pusat penjaja itu dilakukan secara sukarela setelah berunding bersama dua persatuan penjaja dan Majlis Bandaran Jalan Besar, menurut The Straits Times (ST).
Pemilik gerai telah diberitahu akan penutupan itu pada Rabu lalu.
Beberapa pelanggan dan penjual di Geylang Bahru meluahkan perasaan kecewa terhadap berita tersebut.
Menurut Cik Sakiah Rahman, 61 tahun, kebanyakan gerai halal telah ditutup sejak kelmarin walaupun mereka diberitahu bahawa penutupannya bermula hari ini.
"Saya tahu virus ini menakutkan. Jadi sekarang saya harus membeli makanan di tempat lain untuk cucu saya," ujar beliau yang sering membeli makanan untuk cucunya dari pusat penjaja itu.
Cik Elaine Tay, 44 tahun, yang juga telah pergi ke pusat penjaja itu untuk membeli makan malam untuk keluarganya berkata:
"Beberapa gerai yang sering saya kunjungi untuk membeli makanan sudah tutup, jadi saya beli dari apa sahaja gerai yang dibuka.
"Saya faham beberapa pemilik gerai juga bimbang. Namun secara jujur, ia amat memenatkan apabila mendapat tahu tentang penutupan pusat penjaja untuk kerja pembersihan," kata eksekutif pemasaran itu.
Pemilik gerai, Cik Sardul Bibi berkata walaupun penutupan ini akan menjejas perniagaannya, beliau memilih untuk menjadi lebih selamat.
"Sudah tentu saya sedih kerana harus tutup, tetapi saya juga tidak mahu dijangkiti. Mujur kebanyakan pelanggan saya datang pada hari biasa selepas kerja, jadi saya tidak terjejas pada hujung minggu, tidak seperti beberapa gerai lain," kata beliau yang berusia 35 tahun.
Seorang pekerja yang menjual popiah di gerai Fortune Food berkata lebih ramai pembeli mengunjungi gerai itu pada hujung minggu.
"Perniagaan akan terjejas, tetapi melihat kes dalam masyarakat beberapa hari ini, saya juga ingin selamat," kata pekerja berusia 54 tahun itu.
Majlis Bandaran Jalan Besar memberitahu ST:
"Keselamatan penjaja, penduduk dan orang ramai tetap menjadi keutamaan kami. Kami akan mengambil semua langkah berjaga-jaga sebelum membuka semula premis dengan selamat."
Terdapat beberapa pasar dan pusat penjaja lain di Singapura yang telah ditutup kerana kerja-kerja pembersihan akibat jangkitan Covid-19 baru-baru ini.
Pusat penjaja dan pasar basah Marsiling Lane telah dibuka semula pada 25 September setelah ditutup selama empat hari.
