Enam orang cedera selepas dua unit rumah kedai di Syed Alwi Road sebahagiannya runtuh, berikutan letupan gas pada awal pagi 8 Oktober.
Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) menyatakan dalam satu catatan Facebook pada sekitar 7 pagi bahawa mereka dimaklumkan tentang kejadian di 84 dan 85 Syed Alwi Road itu pada sekitar 1.30 pagi.
Menurut maklumat dalam talian, dua unit yang terjejas itu adalah Paakashala Singapore, sebuah restoran vegetarian India, dan kedai serbaneka, Nirja Mega Mart.
SCDF menyatakan dapatan awal menunjukkan bahawa kemungkinan pengumpulan gas mudah terbakar dalam unit 84, yang merupakan sebuah restoran, menyebabkan letupan dan keruntuhan sebahagian daripada kededua struktur itu.
SCDF berkata tiada bacaan gas mudah terbakar dikesan di sana.
Penguasa Bangunan dan Binaan (BCA) menyatakan dalam catatan Facebook pada sekitar 9.30 pagi bahawa ia dimaklumkan mengenai satu kejadian yang disyaki sebuah letupan gas.
Ia berkata para juruteranya menilai integriti struktur unit-unit rumah kedai itu, serta bangunan bersebelahan.
“Sebahagian dari bahagian belakang dua unit rumah kedai itu runtuh. Bahagian muka bangunan dan tangga unit 84 turut rosak akibat letupan itu. Bangunan bersebelahan yang lain selamat dan tidak terjejas oleh letupan itu,” kata BCA.
Jurutera BCA telah memberitahu pemilik unit yang terjejas supaya melaksanakan langkah keselamatan segera dengan mengepung kededua unit itu daripada akses awam.
BCA telah mengeluarkan arahan bangunan berbahaya dan arahan penutupan kepada pemilik dua unit rumah kedai itu.
Mereka juga harus melantik jurutera profesional untuk menyiasat kejadian itu serta mengesyorkan langkah pembetulan kekal yang perlu dijalankan.
Menurut The Straits Times (ST), Cik Denise Phua, yang merupakan Mayor Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) Central, dan Anggota Parlimen (AP) Jalan Besar GRC, turut berada di tempat kejadian untuk meninjau kerosakan.
Beliau berkata keprihatinan utamanya adalah untuk memastikan mereka yang cedera dirawat dan CDC Central akan menyiasat kejadian itu.
Seorang pelancong dari China yang hanya mahu dikenali sebagai Encik Lee, 40 tahun, yang menginap di Hotel L di 51 Desker Road, berkata beliau terdengar letupan “sangat kuat” itu sekitar 1 pagi.
SCDF menyatakan dua anjing pencari dan sebuah dron digunakan bagi memeriksa jika ada sesiapa terperangkap di bawah serpihan.
Anggota bomba menyelamatkan seorang mangsa dari tingkat dua unit 84, menggunakan tangga.
SCDF menambah bahawa sebuah mesin pemadam api dengan semburan kabus air digunakan untuk menguraikan sebarang potensi pengumpulan gas mudah terbakar.
Tiada mangsa terperangkap di bawah serpihan itu.
Enam orang mengalami kecederaan ringan, dua dibawa ke Hospital Besar Singapura (SGH) dan Hospital Tan Tock Seng, manakala empat yang lain enggan dibawa ke hospital.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg