Sebanyak 34 masjid di seluruh negara akan menyediakan dua sesi solat Jumaat pada 9 Ogos sempena cuti umum Hari Kebangsaan, dengan kehadiran lebih ramai jemaah dijangkakan, menurut Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) melalui laman web rasmi mereka.
“Oleh sebab kami menjangkakan mungkin akan terdapat lebih ramai orang daripada biasa, sebanyak 34 masjid akan menawarkan dua sesi bagi solat Jumaat untuk memudahkan jemaah dan memberikan lebih banyak pilihan untuk jemaah kami,” menurut Muis.
Bagi masjid yang menawarkan dua sesi solat Jumaat, sesi yang pertama akan bermula pada 1 petang.
Sesi kedua pula akan bermula pada 2 petang kecuali bagi 11 masjid yang akan memulakan sesi kedua solat Jumaat pada 2.15 petang.
Antaranya adalah Masjid Al-Ansar, Masjid Al-Islah, Masjid Al-Taqua, Masjid Haji Mohd Salleh, Masjid Darul Ghufran, Masjid Al-Istiqamah, Masjid An-Nur, Masjid Yusof Ishak, Masjid Assyakirin, Masjid Anggulia dan Masjid Sultan.
Sebanyak 10 masjid juga akan menyediakan ruang bagi jemaah Muslimah untuk sesi kedua.
Masjid tersebut ialah Masjid Istighfar, Masjid Haji Mohd Salleh, Masjid Kampung Siglap, Masjid Ahmad Ibrahim, Masjid Al-Istiqamah, Masjid Abdul Gafoor, Masjid Sultan, Masjid Al-Khair, Masjid Ar-Raudhah dan Masjid Assyakirin.
Tiada tempahan perlu dibuat bagi menunaikan solat Jumaat kecuali bagi Masjid Darul Ghufran yang memerlukan tempahan untuk sesi pertama sahaja.
Untuk membuat tempahan bagi sesi pertama di Masjid Darul Ghufran, individu perlu membuat pendaftaran bagi akaun terdahulu di laman web https://book.masjids.sg/.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg