DUA Setiausaha Tetap, yang telah lama berkhidmat dalam perkhidmatan awam, akan bersara manakala 11 lagi Setiausaha Tetap telah dilantik semula untuk menerajui pelbagai kementerian, kata Divisyen Perkhidmatan Awam (PSD) semalam.
Setiausaha Tetap Kementerian Perhubungan dan Penerangan (MCI) dan Keselamatan Siber di Pejabat Perdana Menteri (PMO), Cik Yong Ying-I, akan bersara selepas 36 tahun berkhidmat.
Sementara itu, Setiausaha Tetap Kementerian Ehwal Luar Singapura, Encik Chee Wee Kiong, juga akan bersara selepas berkhidmat selama 40 tahun dalam perkhidmatan awam dan Angkatan Bersenjata Singapura (SAF).
Kedua-dua mereka bakal bersara pada 1 April ini.
Menteri Bertanggungjawab bagi Perkhidmatan Awam, Encik Chan Chun Sing, memberikan penghargaan beliau kepada Cik Yong dan Encik Chee atas perkhidmatan mereka.
Pelantikan lain juga akan berkuat kuasa mulai 1 April ini.
Encik Joseph Leong akan dilantik sebagai Setiausaha Tetap perhubungan dan penerangan dan keselamatan siber di PMO.
Encik Chng Kai Fong, yang kini Setiausaha Tetap kedua bagi Negara Bijak dan Kumpulan Digital Pemerintah, akan dilantik serentak sebagai Setiausaha Tetap kedua bagi perhubungan dan penerangan dan keselamatan siber.
Encik Albert Chua akan dilantik sebagai Setiausaha Tetap di Kementerian Ehwal Luar (MFA).
Setiausaha Tetap baru bagi Kemampanan dan Sekitaran (MSE) ialah Encik Stanley Loh, yang akan melepaskan jawatannya sebagai Setiausaha Tetap kedua di Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF).
Beliau juga akan dilantik semula sebagai Setiausaha Tetap (Pembangunan) di Kementerian Ehwal Luar (MFA) dan bertindak sebagai Setiausaha Tetap Kedua (Tugas-Tugas Khas) di PMO.
Encik Chew Hock Yong akan mengekalkan jawatan sebagai Setiausaha Tetap (Pembangunan Ehwal Dalam Negeri).
Sementara itu, Encik Aubeck Kam, akan melepaskan jawatan sebagai Setiausaha Tetap (Tenaga Manusia) dan dilantik sebagai Setiausaha Tetap di MSF.
Cik Lim Wan Yong, Setiausaha Tetap kedua di Kementerian Pendidikan (MOE), juga adalah Setiausaha Tetap Kedua di MSF.
Setiausaha Tetap baharu di MOM ialah Encik Ng Chee Khern.
Encik Chia Der Jiun, Setiausaha Tetap Kedua MOM, menyaksikan perubahan jawatan sebagai Setiausaha Tetap (Pembangunan) di MOM.
Cik Lai Wei Lin akan dilantik sebagai Setiausaha Tetap untuk pembangunan pengangkutan selain meneruskan tugasnya sebagai Setiausaha Tetap Kedua (Kewangan).
Akhir sekali, Encik Loh Khum Yean, Setiausaha Tetap Divisyen Perkhidmatan Awam, akan dilantik secara serentak sebagai Setiausaha Tetap (Undang-Undang).


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg