Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

2 stesen jana kuasa elektrik bakal dibina di Pulau Jurong

Dibina Meranti Power, ia bagi penuhi permintaan tenaga elektrik yang meningkat di S'pura
May 20, 2023 | 5:30 AM
TINGKAT DAYA TENAGA: Menteri Kedua Perdagangan dan Perusahaan, Dr Tan See Leng (tengah), di majlis pecah tanah bagi melancarkan pembinaan stesen jana kuasa Turbin Gas Kitaran Terbuka oleh Meranti Power. - Foto ST
TINGKAT DAYA TENAGA: Menteri Kedua Perdagangan dan Perusahaan, Dr Tan See Leng (tengah), di majlis pecah tanah bagi melancarkan pembinaan stesen jana kuasa Turbin Gas Kitaran Terbuka oleh Meranti Power. - Foto ST -

DUA STESEN jana kuasa Turbin Gas Kitaran Terbuka (OCGT) akan dibina di Pulau Jurong bagi memenuhi permintaan tenaga yang semakin meningkat di Singapura.

Bakal siap pada 2025, ia akan dibina oleh Meranti Power, sebuah anak syarikat Penguasa Pasaran Tenaga (EMA), dan akan menggantikan OCGT sedia ada di Singapura yang sudah berusia lebih 30 tahun dan akan mencapai akhir hayat asetnya.

Semasa majlis pecah tanah bagi melancarkan pembinaan stesen penjanaan OCGT itu pada Jumaat di Pulau Jurong, Menteri Kedua Perdagangan dan Perusahaan, Dr Tan See Leng, berkata OCGT akan melengkapkan Turbin Gas Kitaran Gabungan (CCGT) sedia ada untuk memastikan Singapura terus menikmati bekalan kuasa yang selamat dan boleh dipercayai.

"Hari ini, hampir semua tenaga elektrik yang dihasilkan di Singapura dijana oleh CCGT. Ia adalah unit penjanaan haba yang paling cekap buat masa ini," kata Dr Tan.

Namun, menurut Dr Tan, CCGT mempunyai beberapa had teknikal berbanding dengan OCGT.

Antara batasannya, CCGT tidak boleh dimulakan dengan cepat apabila CCGT lain menghadapi masalah teknikal dan terpaksa ditutup, dan ia juga tidak boleh bertindak balas dengan cepat terhadap perubahan dalam corak permintaan.

Berbanding dengan CCGT, OCGT boleh dimulakan dalam 10 minit dan mencapai penjanaan penuh dalam masa 15 minit.

CCGT memerlukan sehingga 14 jam untuk mencapai keluaran generasi penuh.

Ini, menurut Dr Tan, akan memenuhi keperluan permulaan sistem yang pantas dan kapasiti sandaran untuk menyediakan permintaan elektrik yang semakin meningkat pada masa hadapan.

"OCGT (Turbin Gas Kitaran Terbuka) telah memainkan peranan penting dalam sistem kuasa Singapura selama beberapa dekad, memastikan semua pengguna di Singapura menerima bekalan elektrik tanpa gangguan.

"Ia juga memainkan peranan dalam membekalkan elektrik untuk memenuhi permintaan tinggi, yang biasanya dialami pada tengah hari apabila suhu paling panas dan kilang beroperasi pada kapasiti penuh," kata Dr Tan.

Unit OCGT baru ini akan beroperasi menggunakan gas asli. Namun, ia juga mempunyai keupayaan untuk menggunakan diesel sebagai bahan api sandaran, jika perlu.

Menurut Dr Tan, Meranti Power telah dilantik untuk membina OCGT baru ini kerana tiada permintaan komersial daripada sektor swasta untuk membinanya.

Oleh itu, pemerintah perlu mengambil pendekatan ini sebagai langkah terakhir, untuk menyediakan prasarana genting yang diperlukan untuk memastikan sektor tenaga kekal berdaya tahan dan boleh dipercayai.

Turut hadir semasa majlis tersebut adalah Encik Richard Lim, Pengerusi EMA dan Meranti Power; Encik Takao Tsukui, Naib Presiden Eksekutif Mitsubishi Power; dan Encik Koichi Watanabe, Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan Jurong Engineering.

"OCGT (Turbin Gas Kitaran Terbuka) telah memainkan peranan penting dalam sistem kuasa Singapura selama beberapa dekad, memastikan semua pengguna di Singapura menerima bekalan elektrik tanpa gangguan. Ia juga memainkan peranan dalam membekalkan elektrik untuk memenuhi permintaan tinggi, yang biasanya dialami pada tengah hari apabila suhu paling panas dan kilang beroperasi pada kapasiti penuh." - Menteri Kedua Perdagangan dan Perusahaan, Dr Tan See Leng.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg