Topik diikuti
Pergi ke BHku2 wanita Saudi ikuti program PhD di S'pura
2 wanita Saudi ikuti program PhD di S'pura
2 wanita Saudi ikuti program PhD di S'pura
BAGI warga Saudi, Cik Hajar Al Oqaili, 40 tahun, mengejar impiannya bermakna merebut peluang yang diberi walaupun harus ke luar negara.
Itulah motivasi beliau apabila beliau menerima biasiswa yang ditawarkan Universiti Imam Mohammad Ibn Saud Islamic di Riyadh untuk menyertai program ijazah Doktor Falsafah (PhD) di Universiti Teknologi Nanyang (NTU), lebih setahun yang lalu.
Bercakap kepada Berita Harian (BH), Cik Hajar berkongsi bagaimana beliau percaya bahawa kaum wanita di Saudi, seperti juga kaum wanita di Singapura, memainkan peranan penting untuk menyumbang kepada masyarakat dan tenaga kerja.
"Sejauh ini di Saudi, kaum wanita sentiasa mempunyai peluang dan hak untuk mendapatkan pendidikan percuma, sama seperti kaum lelaki di Saudi.
"Tetapi saya gembira melihat bahawa di Saudi, terdapat peningkatan besar penyertaan wanita dalam pekerjaan dan lebih ramai lagi kaum wanita yang menyandang jawatan kepemimpinan dalam pemerintah dan pertubuhan," kata mahasiswi itu yang sedang menuntut dalam bidang reka bentuk visual interaktif di NTU.
Beliau menambah bahawa menjadi seorang wanita tidak pernah menjadi batasan kepada aspirasinya untuk memperoleh pengetahuan dan bekerja dalam bidang-bidang yang mungkin dilihat sebagai lebih popular dalam kalangan kaum lelaki.
Sebagai ibu lima anak - empat perempuan dan seorang lelaki - beliau percaya Visi 2030 yang dilancarkan oleh pemerintah Saudi pada 2016 untuk memperkasa wanita adalah langkah ke arah yang betul.
"Saya percaya bahawa wanita juga mempunyai bakat yang sejajar dengan kaum lelaki dan mereka harus diberi peluang untuk mengejar impian dan menyumbang kepada mana-mana sektor yang mereka minati.
"Sebagai seorang wanita, saya benar-benar bersyukur kerana telah diberi peluang melanjutkan pengajian ke peringkat PhD di Singapura dan saya berharap satu hari nanti dapat menyumbang dengan baik dalam masyarakat saya," tambahnya.
Sementara itu, bagi Cik Ghada Soliman, seorang warga Mesir yang telah berada di Singapura selama 16 tahun, beliau berasa bertuah mendapat peluang dan pelbagai pengalaman ketika bekerja di Singapura.
Cik Ghada yang berusia lewat 30-an tahun datang ke Singapura bersama suaminya yang merebut peluang pekerjaan di syarikat penerbangan Singapura, SIA.
Di sini, beliau melihat bagaimana negara ini memperkasa wanita untuk mengejar minat mereka dan menyumbang kepada tenaga kerja.
Itulah yang mendorong beliau melanjutkan pelajaran dan kerjayanya di Singapura.
"Wanita di Singapura sangat dihormati dan berpendidikan tinggi. Mereka juga mempunyai banyak sokongan untuk meneruskan kerjaya dan minat mereka.
"Saya benar-benar seronok tinggal di Singapura selama 16 tahun di mana saya berpeluang menceburi kerjaya sebagai pensyarah di NUS dan kini sebagai penganalisis dengan Kedutaan Arab Saudi di Singapura," kata pelajar PhD di Universiti Nasional Singapura (NUS) itu.
Apabila ditanya mengenai harapan beliau terhadap anak perempuannya yang sedang menuntut di sebuah sekolah di Singapura, Cik Ghada berkata beliau berharap anak perempuannya juga akan diberi peluang mengejar segala impiannya dan menyumbang kembali kepada masyarakat.
