PASUKAN Pertahanan Awam Singapura (SCDF) telah mengerah pasukan bomba untuk menangani masalah kebocoran kimia di bangunan perusahaan Nordcom II di Sembawang semalam.

Dalam satu hantaran Facebook, SCDF menjelaskan ia menerima panggilan untuk bantuan di 2 Gambas Crescent sekitar 7.15 pagi.

Pasukan bomba SCDF menggunakan pengesan kimia dan akur akan kewujudan gas klorin di dalam bilik pemadat sampah di tingkat bawah.

Pancuran air digunakan bagi mencairkan wap dalam bilik itu. Dua kipas peniup turut diguna bagi memastikan wap itu terkandung dalam bilik itu.

Kepekatan udara di luar bilik yang terjejas kekal pada tahap selamat, kata SCDF.

Sebagai langkah berjaga-jaga, sekitar 20 orang diminta meninggalkan premis tersebut. Tiada kecederaan dilaporkan.

SCDF menasihati anggota awam agar mengelakkan kawasan tersebut.

Klorin digunakan bagi menyahjangkit air dan merupakan sebahagian proses sanitasi bagi sisa dan kumbahan perusahaan.

Pendedahan pada tahap gas klorin yang tinggi, antara lain, boleh menyebabkan mual, muntah, sesak nafas dan sakit dada.

Pada 2016, tujuh orang termasuk dua pegawai SCDF dibawa ke hospital selepas gas klorin bocor di Tuas.

Mereka mengalami masalah pernafasan dan kerengsaan mata lantas dikejar ke hospital kerana terdedah pada gas wap klorin yang menghakis kesihatan.

Pada 2006, kebocoran gas klorin di rumah kelab Safra di Telok Blangah Way menyebabkan ramai orang dewasa dan kanak-kanak muntah.

Sekitar 50 orang termasuk 23 kanak-kanak dikejar ke tiga hospital di mana mereka dirawat bagi masalah sukar bernafas, mual dan kerengsaan tekak dan mata.

Air bersabun dari hujung rambut ke hujung kaki disembur kepada mereka bagi meluputkan kesan klorin daripada tubuh dan pakaian mereka.