Seramai 17 lelaki dan tiga wanita, berumur antara 16 dengan 64 tahun, telah ditangkap kerana disyaki terlibat dalam pelbagai jenis penipuan, dan bakal dihadapkan ke mahkamah antara 17 dengan 21 Ogos.

Penipuan ini merangkumi Penipuan Penyamaran Pegawai Pemerintah (GOIS), penipuan tawaran kerja, penipuan e-dagang, penipuan pelaburan, penipuan cinta Internet, dan penipuan perkhidmatan seksual, menurut Pasukan Polis Singapura (SPF) dalam satu kenyataan pada 16 Ogos.

Menurut kenyataan itu, 20 individu itu akan didakwa atas kesalahan yang berkaitan dengan aktiviti keldai wang bagi kes penipuan, yang merangkumi persubahatan untuk menipu; memperoleh faedah daripada hasil kegiatan jenayah milik orang lain; membantu orang lain mengekalkan faedah daripada perbuatan jenayah; bersubahat mendapatkan akses tanpa kebenaran kepada bahan komputer; mendedahkan kata laluan atau kod akses secara menyalahi undang-undang; serta secara sengaja menyediakan kad SIM prabayar berdaftar secara palsu bagi mendapatkan keuntungan kewangan.

Siasatan SPF menunjukkan mereka dipercayai melakukan aktiviti penipuan dengan menyerahkan atau menjual akaun bank mereka, membantu menerima atau memindahkan dana dan mengumpul wang tunai daripada mangsa penipuan, serta membolehkan sindiket jenayah melakukan pengubahan wang haram.

“Beberapa individu didakwa menipu bank untuk membuka akaun bank sebelum menyerahkan maklumat log masuk perbankan Internet mereka kepada individu yang tidak dikenali.

“Seorang individu dipercayai telah mendedahkan maklumat Singpass beliau secara tidak sah, lantas membolehkan sindiket jenayah menyalahgunakan identitinya untuk membuka akaun bank.

“Seorang lagi individu dipercayai membantu sindiket jenayah mendaftarkan kad SIM sebagai pertukaran untuk ganjaran kewangan,” jelas SPF.

Anggota atau perekrut sindiket penipuan akan berdepan hukuman sebat mandatori sekurang-kurangnya enam sebatan, dan sehingga 24 sebatan, kata SPF.

Keldai penipuan yang membantu golongan penipu ini dengan memindahkan wang hasil penipuan bakal berdepan hukuman sebat sehingga 12 sebatan.

Pihak polis mengingatkan orang ramai sesiapa yang didapati mempunyai kaitan dengan jenayah sedemikian akan dipertanggungjawabkan.

Di bawah Rangka Kerja Sekatan Kemudahan, individu yang terlibat dalam kesalahan berkaitan keldai wang – sama ada mereka sedang disiasat dan dinilai berisiko, atau telah diberi amaran, dikenakan kompaun, didakwa, atau disabitkan kesalahan – boleh berdepan sekatan ke atas perkhidmatan perbankan dan langganan talian mudah alih bagi mencegah langkah memudahkan aktiviti penipuan selanjutnya.