PASUKAN Pertahanan Awam Singapura (SCDF) telah mengerahkan pasukan bomba untuk menangani masalah kebocoran kimia di bangunan perusahaan Nordcom II di Sembawang pada Sabtu (28 Mei).

Dalam satu hantaran Facebook, SCDF menjelaskan ia telah menerima panggilan untuk bantuan di 2 Gambas Crescent sekitar 7.15 pagi.

Pasukan bomba SCDF menggunakan pengesan kimia dan akur akan kewujudan gas klorin di dalam bilik pemadat sampah di tingkat bawah.

Pancuran air digunakan bagi mencairkan wap dalam bilik itu. Dua kipas turut dipakai bagi memastikan wap itu terkandung dalam bilik itu.

Kepekatan udara di luar bilik yang terjejas kekal pada tahap selamat, kata SCDF.

Sebagai langkah berjaga-jaga, sekitar 20 orang telah diminta meninggalkan premis tersebut.

Tiada kecederaan dilaporkan.

SCDF menasihati orang awam agar mengelakkan kawasan tersebut.

Klorin digunakan bagi menyahjangkit air dan merupakan sebahagian proses sanitasi bagi sisa dan kumbahan perusahaan.

Pendedahan pada tahap gas klorin yang tinggi, antara lain, boleh menyebabkan rasa mual, muntah, sesak nafas dan sakit dada.

Pada 2016, tujuh orang termasuk dua pegawai SCDF dibawa ke hospital selepas gas klorin bocor di Tuas.

Mereka mengalami masalah pernafasan dan kerengsaan mata lantas digegaskan ke hospital kerana terdedah pada wap klorin yang menghakis kesihatan.

Pada 2006, kebocoran gas klorin di rumah kelab Safra di Telok Blangah Way menyebabkan ramai orang dewasa dan kanak-kanak muntah.

Sekitar 50 orang termasuk 23 kanak-kanak digegaskan ke tiga hospital di mana emreka dirawat bagi masalah sukar bernafas, mual dan kerengsangan tekak dan mata.

Air bersabun dari hujung rambut sampai hujung kaki disembur kepada mereka bagi meluputkan kesan klorin daripada tubuh dan pakaian mereka.