Topik diikuti
Pergi ke BHku20 pertubuhan silang agama hadiri bengkel bimbingan firma teknologi
Facebook, Google, Twitter dan TikTok bantu hasil kandungan media sosial peka isu kaum dan agama
20 pertubuhan silang agama hadiri bengkel bimbingan firma teknologi
LEBIH 40 peserta daripada 20 pertubuhan agama, silang agama dan bangsa telah menghadiri bengkel yang dijalankan oleh firma teknologi seperti Facebook, Google, Twitter dan TikTok yang akan membimbing mereka untuk menghasilkan kandungan media sosial yang bermakna dalam talian.
Sepanjang tiga bulan mereka akan mempelajari bengkel media digital "Create and Connect" yang dibimbing Jawatankuasa Pengendali Nasional mengenai Keharmonian Bangsa dan Agama, dengan sokongan Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia (MCCY).
Menerusi bengkel itu, pertubuhan tersebut akan mempelajari secara langsung dari firma teknologi itu berhubung cara bagaimana untuk mendekati pengguna media sosial mengenai isu sensitif seperti perkauman dan agama, menangani perbincangan dalam talian yang kompleks selain memanfaatkan ciri dan bahan baru yang terdapat dalam platform berkenaan.
Selain itu, mereka juga akan mengetahui bagaimana untuk memanfaatkan bahan dan sumber sedia ada untuk memperbaiki mutu kandungan selain menggalak usaha mendekati masyarakat mereka.
Menteri Negara Kebudayaan, Masyarakat dan Belia merangkap Perdagangan dan Perusahaan, Encik Alvin Tan yang melancarkan inisiatif itu semalam berkata usaha kerjasama itu penting bagi memperkukuh naratif positif dalam talian.
"Meski media sosial mempunyai kuasa untuk memecahbelahkan, ia juga pada masa yang sama, mempunyai kuasa untuk menyatukan.
"Empat rakan kongsi teknologi kita, Facebook, Google, Twitter dan TikTok telah bersetuju untuk bekerjasama agar dapat mempengaruhi ruang dalam talian secara positif, supaya dapat berhubungan dengan satu sama lain dengan lebih baik lagi selain membina jambatan dan memperkukuh hubungan dalam masyarakat kita."
Ketua Dasar Awam TikTok bagi Singapura dan Asia Tenggara, Cik Teresa Tan berkata pihaknya akan cuba membimbing para peserta dengan mengajar mereka bagaimana memanfaatkan ciri-ciri yang terdapat dalam TikTok bagi mendekati lebih ramai pengguna terutama sekali golongan belia yang kian menggunakan platform tersebut.
Baru-baru ini, syarikat media sosial itu telah memperkenal kempen kesihatan mental menerusi kerjasama yang mereka jalankan bersama 15 pertubuhan bukan mengaup untung.
Hasil kerjasama itu, kempen itu telah berjaya menarik lebih 11 bilion tontonan.
"Kami ingin memperkenal kandungan bersifat pendidikan dan kempen kesihatan mental ternyata berhasil, lebih-lebih dengan pandemik Covid-19 yang kita lalui sekarang.
"Buat masa ini, ruang perbincangan mengenai kaum dan agama jarang diketengahkan di platform kami. Justeru kami ingin meneroka peluang tersebut melalui usaha kerjasama ini dan membimbing peserta untuk menghasilkan kandungan pendidikan yang boleh mereka kaitkan," ujarnya.
Seorang peserta Cik Liyana Rosli Asmara, Ketua Pusat Harmoni berkata pihaknya amat mengalu-alukan usaha itu dan tidak sabar untuk meneroka bagaimana untuk menggunakan TikTok selain menghasilkan kandungan yang berkesan, sesuai untuk pengguna platform media sosial yang berbeza-beza.
"Buat masa ini, kami mempunyai akaun di Facebook dan Instagram dan kami memuat naik kandungan setiap minggu.
"Namun dengan keadaan di mana, ramai yang kini menggunakan media sosial setiap hari dengan adakalanya tercetus isu berkaitan perkauman dan agama, kami juga mahu meninjau bagaimana untuk memanfaatkan insiden sedemikian untuk menghasilkan naratif yang lebih positif dalam talian," ujarnya.
Semasa pelancaran inisiatif itu juga, Encik Tan turut mengumumkan bahawa peserta boleh memanfaatkan Dana Keharmonian bernilai sehingga $50,000 bagi setiap projek yang menggalak cara inovatif untuk mengurangkan salah faham mengenai kepercayaan dan amalan kaum dan agama yang berbeza di sini.
Firma teknologi itu juga akan menilai idea projek tersebut dan menyesuaikan sokongan berdasarkan manfaat setiap projek.
"Meski media sosial mempunyai kuasa untuk memecahbelahkan, ia juga pada masa yang sama, mempunyai kuasa untuk menyatukan. Empat rakan kongsi teknologi kita, Facebook, Google, Twitter dan TikTok telah bersetuju untuk bekerjasama agar dapat mempengaruhi ruang dalam talian secara positif, supaya dapat berhubungan dengan satu sama lain dengan lebih baik lagi selain membina jambatan dan memperkukuh hubungan dalam masyarakat kita." - Menteri Negara Kebudayaan, Masyarakat dan Belia merangkap Perdagangan dan Perusahaan, Encik Alvin Tan.