$20j lagi bagi Pakej Daya Tahan Seni dan Budaya
Merangkumi geran baru dan lanjutan bagi kekal mata pencarian penggiat seni dan budaya bebas
PEMERINTAH akan menambahkan $20 juta kepada Pakej Daya Tahan Seni dan Budaya (ACRP) untuk terus menyokong kegiatan kumpulan seni dan artis sedang persembahan langsung serta kegiatan kebudayaan lain dimulakan semula secara bertahap-tahap.
Jumlah itu adalah di samping $55 juta yang diperkenal April tahun lalu, menjadikan jumlah keseluruhan bagi langkah-langkah sokongan yang dilancarkan di bawah pakej itu kepada $75 juta.
Pakej dipertingkat itu akan merangkumi beberapa geran baru dan lanjutan kepada skim sedia ada, seperti pelancaran Geran Individu Bekerja Sendiri (SEP) bagi penggiat seni dan budaya bebas untuk bekerjasama bagi projek, dan lanjutan bagi Geran Operasi ACRP.
Mengumumkannya semalam semasa bahas bagi Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia (MCCY) di Parlimen, Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia, Encik Edwin Tong, berkata:
"Sementara persembahan langsung disambung semula dengan selamat dalam Fasa Tiga, kami sedar bahawa kepulangan lebih ramai penonton akan memerlukan masa. Ini telah memberikan tekanan terhadap pertubuhan seni dan artis untuk menampung kos operasi.
"Kami akan terus melakukan apa yang kami boleh untuk melindungi mata pencarian dan mengekalkan keupayaan."
Geran SEP baru itu akan menyediakan dana sehingga $50,000 bagi setiap projek, yang boleh melibatkan persembahan langsung, penyampaian digital atau pembangunan kemahiran.
Menteri Negara (Kebudayaan, Masyarakat dan Belia), Cik Low Yen Ling, yang mengulas lanjut tentang geran baru dan lanjutan skim sedia ada di bawah ACRP itu, berkata geran baru itu bertujuan mengekalkan mata pencarian penggiat seni dan budaya bebas dengan mengurangkan kehilangan peluang pekerjaan dan pendapatan.
"Kami berharap geran meluas menjelang Jun 2021 ini akan menyuntik peluang pekerjaan baru bagi pengamal bekerja sendiri, dan terus mendorong mereka mencipta projek baru yang mengasah atau mempertingkat kemahiran mereka bagi pemulihan pasca-Covid-19," kata beliau.
Cik Low menambah bahawa ACRP telah menjana lebih 5,000 peluang pekerjaan dan latihan buat SEP sejauh ini.
Kementerian itu juga akan memperkenal Dana Transformasi Perniagaan baru untuk melengkapi dan mempertingkat keupayaan sektor seni dan budaya bagi masa depan, dan menjadi pemangkin bagi keupayaannya untuk berubah dan merebut peluang baru.
Sebuah Geran Transformasi Perniagaan (BTG) akan dilancarkan di bawah dana itu, yang menawarkan sehingga $30,000 bagi badan seni dan budaya memanfaatkan huraian digital atau mempertingkat pentadbiran dan penyampaian perkhidmatan.
Pertubuhan yang bergabung bersama untuk meneroka projek teknologi maklumat (IT) penyelesaian bersama yang memberi manfaat kepada pelbagai pengguna, atau berpotensi bagi industri sampingan boleh memohon dana sehingga $200,000.
Selain menawarkan geran, dana itu akan menyokong usaha MCCY dan Majlis Seni Kebangsaan (NAC) untuk menugaskan projek dan bekerjasama dengan rakan industri.
Geran SEP dan BTG dijangka dilancarkan menjelang Jun ini.
Sementara itu, kumpulan kedua Geran Operasi ACRP akan diberikan pada Julai ini untuk membantu kumpulan menampung kos operasi, dengan pertubuhan yang layak akan menerima $35,000 setiap satu - turun daripada $50,000 atau $75,000.
Subsidi sewa tempat pada 80 peratus juga akan dilanjutkan bagi tiga bulan lagi sehingga Jun, dan ia juga akan meliputi lebih banyak tempat.
SEKILAS
SENI
1. Suntikan tambahan $20 juta bagi Pakej Daya Tahan Seni dan Budaya dipertingkat. Ia akan liputi:
- Geran SEP baru untuk penggiat seni dan budaya bebas.
- Dana Transformasi Perniagaan baru bagi pertubuhan seni dan budaya. Terdapat dua laluan:
a) Geran Transformasi Perniagaan baru untuk sokong aspek digital dan bukan digital.
b) MCCY dan NAC akan tugaskan atau kerjasama dengan rakan untuk cipta bersama huraian transformasi niaga.
- Lanjutan Geran Operasi ACRP
- Lanjutan Subsidi Sewa Tempat 80% untuk tiga bulan lagi sehingga Jun 2021
2. Jubli Emas Monumen Negara
- Pameran baru sambutan tahun ke-50 sejak pengisytiharan Akta Pemuliharaan Monumen
- Pemulihan Monumen Negara, seperti Taman Warisan Melayu (2022)
3. Peta Jalan Digital Seni dan Budaya
- Akan sediakan rangka kerja menggunakan huraian digital, dan berikan impak lebih besar kepada penonton, pengunjung muzium, dan pengguna.
SUKAN
1. Suntikan tambahan $25 juta bagi Pakej Daya Tahan Sukan dipertingkat
- Geran Projek SEP untuk bangun projek tingkat kesihatan dan kesejahteraan
- Tambahan $22.5 juta bagi Geran Pembangunan Keupayaan dan Inovasi Perniagaan
- Lanjutan Geran Operasi bagi perniagaan, dan Elaun Latihan dan Pementoran Berstruktur bagi Jurulatih
2. Projek Nasional bagi Bola Sepak
- Untuk cipta lebih banyak peluang bagi rakyat Singapura bangun bakat
- Lapan tunggak pelaksanaan, daripada bina minat dalam golongan muda hingga ke pertingkat keupayaan, gunakan teknologi dan tingkatkan prasarana

