SEBANYAK 210 kes mengumpul dan menyorok barang telah berjaya dikawal oleh Kumpulan Teras Pengurusan Penimbunan (HMCG) dalam separuh pertama tahun ini.
Lagi 260 kes sedang diusahakan tetapi adalah lebih sukar untuk diselesaikan kerana tidak mudah untuk mendapatkan kerjasama penimbun untuk membersihkan koridor yang bersepah.
Demikian dinyatakan Menteri Negara Kanan (Pembangunan Negara), Cik Sim Ann, di Parlimen semalam ketika menjawab soalan beberapa Anggota Parlimen (AP) tentang tindakan yang diambil untuk mengawal penimbunan barang dalam unit perumahan dan di koridor bagi mengelakkan kebakaran.
Dua kebakaran di flat berlaku bulan lalu yang melibatkan penimbunan. Satu orang terkorban dalam kejadian itu.
Cik Sim Ann berkata pemerintah telah mengambil pendekatan berbilang agensi untuk menangani isu penimbunan barang disebabkan oleh kerumitannya dan bahaya awam yang boleh timbulkannya.
HMCG yang dibentuk pada 2014 dipimpin oleh Pejabat Khidmat Perbandaran (MSO) dan terdiri daripada tujuh agensi termasuk Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) dan Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF).
"Dalam Rangka Kerja Pengurusan Penimbunan (HMF), kes penimbunan dinilai dan diberi keutamaan berdasarkan sama ada terdapat ancaman kepada kesihatan dan keselamatan awam.
"Jika risiko dikenal pasti dengan peraturan dan undang-undang yang ditetapkan dilanggar, agensi kawal selia akan mengeluarkan perintah atau mengambil tindakan penguatkuasaan ke atas penimbun atau pemilik rumah," kata Cik Sim Ann.
HMCG turut menimbangkan campur tangan masyarakat dan sosial seiring dengan usaha penguatkuasaan, tambahnya.
Sebagai contoh, jika penimbun disyaki mengalami masalah kesihatan mental, penimbun akan dirujuk kepada Agensi Penjagaan Bersepadu (AIC) dan Institut Kesihatan Mental (IMH) untuk penilaian dan rawatan profesional.
Cik Sim Ann berkata terdapat rancangan untuk memperhebatkan tindakan bagi memastikan koridor tidak dipenuhi barang-barang yang bertimbun.
"Dalam beberapa bulan akan datang, agensi-agensi berhasrat untuk bekerjasama dengan Majlis Bandaran bagi meningkatkan penguatkuasaan ke atas koridor yang bersepah.
"Selaras dengan itu, MSO akan bekerjasama dengan media serta pekerja sosial dan akar umbi untuk menyebarkan dan mengukuhkan lagi mesej utama melalui lebih banyak pendidikan awam tentang bahaya penimbunan dan koridor yang bersepah," katanya.
Encik Murali Pillai (Bukit Batok) dalam soalan tambahannya bertanya agensi mana dalam HMCG yang menyelaraskan usaha, dan bagaimana penduduk boleh tahu tentang langkah yang telah diambil dalam sejarah penimbunan sesebuah unit perumahan.
Cik Sim Ann berkata walaupun HMCG adalah sebuah usaha berbilang agensi, sering kali pegawai HDB yang menangani kes dan berinteraksi lebih kerap dengan jiran, penasihat akar umbi atau majlis bandaran.
Beliau menambah, terdapat rekod tentang kes-kes yang dilaporkan yang dibuat oleh agensi yang dirujuk.
Cik Joan Pereira (GRC Tanjong Pagar) pula bertanya sama ada sumber sokongan sosial atau kesihatan mental boleh diperuntukkan bagi kes-kes di bawah rangka kerja pengurusan penimbunan agar lebih banyak perhatian dapat diberikan untuk menyelesaikan kes melibatkan penimbun barang yang menghadapi isu kesejahteraan mental.
Cik Sim Ann berkata tabiat menimbun barang bukan satu penyakit tetapi adalah ciri keadaan yang mendasari.
"Dalam menangani punca, setiap kes adalah berbeza. Tiada cara yang sesuai untuk semua.
"Akses kepada individu itu, kesedaran oleh individu berkenaan dan sokongan daripada ahli keluarga adalah penting.
"Ini adalah sesuatu yang kami akan terus usahakan bersama rakan kerja kami daripada sektor kesihatan mental," katanya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg