SERAMAI 237 orang telah diberkas dalam operasi besar-besaran setelah disyaki terlibat dalam kegiatan pemiutang wang haram.
Polis dalam kenyataannya hari ini (4 Ogos) berkata 160 lelaki dan 77 wanita berusia antara 13 hingga 77 tahun telah ditahan dalam operasi 11 hari membanteras kegiatan pinjaman haram yang dijalankan dari 20 hingga 30 Julai lalu.
Pegawai Jabatan Siasatan Jenayah (CID) dan tujuh divisyen polis darat melakukan serbuan serentak di beberapa lokasi di seluruh negara sehingga tangkapan dapat dilakukan, kata polis.
Menerusi siasatan awal, didapati 51 suspek dipercayai merupakan anggota yang membantu sindiket pemiutang haram dengan melakukan pemindahan duit menerusi Mesin Juruwang Automatik (ATM).
Seramai 12 suspek pula dipercayai telah menjalankan gangguan terhadap mangsa dengan menyimbah cat atau menconteng grafiti berkaitan pinjaman haram itu di dinding.
Lagi 174 suspek dipercayai telah membuka akaun bank dan memberi kad ATM serta nombor pin kepada pemiutang haram untuk memudahkan perniagaan pemiutang tanpa lesen ini.
Siasatan sedang dijalankan.
Di bawah Akta Peminjam Wang (Edisi Semakan 2010), pesalah pertama yang disabitkan kesalahan menjalankan perniagaan pemiutang tanpa lesen boleh didenda antara $30,000 hingga $300,000, diwajibkan menjalani hukuman penjara sehingga empat tahun, dan wajib dirotan sehingga enam sebatan.
Sementara itu, pesalah pertama yang disabitkan kesalahan bertindak bagi pihak pemiutang tanpa lesen atau cuba melakukan gangguan boleh didenda antara $5,000 hingga $50,000, di hukum penjara sehingga lima tahun, dan wajib dirotan antara tiga hingga enam sebatan.
Orang ramai dinasihatkan agar menjauhi pemiutang tanpa lesen dan diminta untuk tidak bekerja atau membantu mereka dalam apa cara sekalipun.
Orang ramai boleh hubungi talian 999 atau 1800-924-5664 jika mengesyaki atau tahu sesiapa yang terlibat dalam kegiatan memberi pinjaman wang secara haram.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg