Topik diikuti
Pergi ke BHku24 kumpulan motosikal agih hamper makanan
Inisiatif 'Ramadan Charity Ride to Jannah' projek tahunan anjuran Chapalang Brotherhood Sg dan Global Ehsan Relief jaya kumpul $25,000
24 kumpulan motosikal agih hamper makanan
SEBANYAK 24 kumpulan penunggang motosikal dan enam anggota keluarga telah menyertai pengagihan hamper makanan Ramadan kelmarin bagi 500 keluarga berpendapatan rendah, anak yatim, warga emas dan ibu bapa tunggal di Singapura.
Anggota Parlimen (AP) Radin Mas, Encik Melvin Yong dan Pengerusi Lembaga Pentadbir Masjid Al-Amin, Encik Muhd Khairul Jameel Yahya, turut hadir untuk melancarkan permulaan pengagihan hamper makanan itu.
Inisiatif 'Ramadan Charity Ride to Jannah' itu adalah projek tahunan anjuran Chapalang Brotherhood Sg dan Global Ehsan Relief yang bermula lima tahun lalu.
"Tahun ini, Chapalang Brotherhood Sg dan Global Ehsan Relief berjaya mengumpul dana sebanyak $25,000 untuk membantu golongan memerlukan."
Setiap keluarga menerima hamper makanan berisi barangan runcit seperti lima kilogram beras, garam, minyak masak, susu pekat dan sirap.
Pengasas Chapalang Brotherhood SG, Encik Sharin Yusoff, 49 tahun, memberitahu Berita Harian, sebagai penganjur, mereka bersyukur dapat membantu keluarga yang memerlukan dan membuat mereka tersenyum dengan adanya bekalan makanan yang cukup bagi keluarga mereka untuk berbuka puasa pada Ramadan kali ini.
"Harapan dan impian kami adalah untuk seringkali beramal bukan sahaja pada bulan Ramadan untuk membantu dan memastikan lebih ramai keluarga memerlukan mempunyai makanan harian yang sesuai untuk dimakan," ujarnya.
Seramai 20 sukarelawan dari Cahaya Kirana dari Universiti Teknologi Nanyang (NTU) turut bergotong-royong dengan sukarelawan dari Chapalang Brotherhood Sg, Global Ehsan Relief, Alimoonshi Legacy dan One Step Forward untuk membungkus hamper-hamper makanan tersebut di Masjid Al-Amin pagi kelmarin.
Antaranya ialah sukarelawan Encik Saef Ali Basha Cekendar Basha, 22 tahun, mahasiswa jurusan kejuruteraan aeroangkasa di NTU berpendapat seseorang itu harus berusaha sedaya upaya menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan.
"Ibu bapa saya sering menekankan kepentingan memberikan kembali kepada masyarakat dan ini membentuk kepercayaan saya bahawa penting untuk beramal dan membantu mereka yang tidak bernasib baik.
"Saya berharap melalui usaha kami, walau sekecil manapun, ia akan memberi inspirasi kepada orang lain untuk turut menyumbang bagi membina masyarakat yang saling bantu-membantu,' ujarnya.
Antara mereka yang menerima hamper makanan itu ialah Cik Hafiza Fikri, 41 tahun, yang tinggal bersama lima anaknya di flat sewa di Yishun.
Bagi Cik Hafiza, beliau amat terharu dengan bantuan hamper makanan yang diterimanya kerana beliau dan anak-anaknya yang berumur antara dua dengan 21 tahun kini dalam kesempitan sejak suaminya dipenjara.
Cik Hafiza mendakwa doktor mengisytiharkan beliau tidak layak untuk bekerja sejak dua tahun lalu akibat penyakit yang dialaminya.
"Ini kali pertama saya menerima bantuan demikian dari inisiatif ini dan saya bersyukur dan berasa lega sedikit kerana dengan hamper makanan ini, ia boleh bertahan untuk digunakan sepanjang Ramadan untuk keperluan makanan kami sekeluarga.
"Jika ada lebih, saya juga boleh berkongsi dengan jiran-jiran saya yang juga kebanyakannya kurang berupaya dan memerlukan bantuan," tambahnya.
