2.5 juta warga S'pura akan terima sehingga $700 pakej sokongan: MOF
2.5 juta warga S'pura akan terima sehingga $700 pakej sokongan: MOF
SEKITAR 2.5 juta rakyat Singapura akan menerima sehingga $700 wang tunai bulan depan sebagai sebahagian daripada pakej Pemerintah untuk mengimbangi kesan kenaikan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dan membantu orang ramai hadapi kenaikan kos. Jumlah sebanyak $700 itu terdiri daripada dua bayaran berasingan - sekitar 2.5 juta rakyat dewasa Singapura akan mendapat wang tunai sehingga $500 pada Disember di bawah bayaran khas kos hidup yang diberikan sekali sahaja, sebagai sebahagian daripada pakej sokongan bernilai $1.5 bilion yang diumumkan pada Oktober. Sekitar 2.9 juta rakyat dewasa Singapura juga akan menerima wang tunai sehingga $200 di bawah Pakej Jaminan. "Ini memastikan bahawa walaupun dengan keadaan inflasi semasa, pakej jaminan akan mengimbangi perbelanjaan tambahan GST untuk kebanyakan isi rumah rakyat Singapura untuk sekurang-kurangnya lima tahun, dengan kira-kira 10 tahun diimbangi untuk keluarga berpendapatan rendah," kata Kementerian Kewangan dalam satu kenyataan pada Selasa (15 Nov). Bahagian pertama wang akan diagihkan dari Disember 2022 hingga Februari 2023.

