Topik diikuti
Pergi ke BHku25 tahun jadi sukarelawan masjid
25 tahun jadi sukarelawan masjid
CIK Faridah Mansor meluangkan begitu banyak masa berkhidmat di Masjid Alkaff Kampung Melayu hingga ada jemaah yang menyangka beliau bertugas di situ. Tetapi beliau sebenarnya seorang sukarelawan yang, pada kebanyakan hari, akan berada di masjid di Bedok Reservoir itu dari sebelum masuk waktu zuhur hingga masjid ditutup selepas isyak. Dalam pandemik Covid-19 ini, beliau ditugas melaksanakan pendaftaran masuk SafeEntry jemaah. Sebagai naib bendahari masjid itu, beliau turut terlibat dalam pasukan yang memikirkan cara mengumpul dana bagi menyokong kerja menaik taraf masjid yang akan dijalankan. Secara keseluruhan, ibu lima anak itu telah bergelar sukarelawan di masjid itu selama 25 tahun. Beliau turut menyumbang masa dan tenaga di sekolah lamanya, Sekolah Menengah St Anthony's Canossian, dan pelbagai jawatankuasa di Kelab Masyarakat Eunos. Cik Faridah, 61 tahun, diberi Anugerah Jasa Bakti Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) dalam satu majlis sebentar tadi di atas khidmatnya kepada masyarakat. Nenek tujuh cucu itu berkata beliau mula menjadi sukarelawan di Masjid Alkaff pada hujung minggu ketika anaknya menuntut di madrasah di sana, tetapi sejak arwah suaminya meninggal dunia tahun lalu dan anak bongsu yang masih tinggal bersama ke sekolah, beliau mula meluangkan lebih banyak masa berkhidmat di sana. Antara lain, tugasnya ialah menerajui jualan amal di masjid tersebut.