SINGAPURA akan memperuntukkan $25 juta kepada penyelidikan barah hati menerusi satu program baru lima tahun yang diterajui Pusat Barah Nasional Singapura (NCCS) dengan tujuan bagi mencari rawatan terbaik bagi penyakit tersebut.

Pasukan itu yang merangkumi penyelidik daripada pelbagai institusi akan bekerjasama untuk menemukan penanda bio yang dihasilkan tubuh atau ketumbuhan agar terapi khusus boleh dihasilkan bagi melawan jenis barah hati paling kerap dihidapi, dikenali sebagai hepatocellular carcinoma (HCC).

Program penyelidikan dan geran $25 juta itu telah diumumkan dalam satu taklimat media semalam.

Barah hati amat rumit untuk ditangani berbanding barah jenis biasa lain kerana rawatan konvensional seperti kemoterapi kurang berkesan untuk merawat barah hati.

Justeru, penyelidikan itu bertujuan untuk membawa percubaan perubatan yang dirangsang penanda bio, yang akan merintis jalan bagi rawatan khusus lebih berkesan bagi pesakit barah hati, kata Profesor Pierce Chow, konsultan kanan Hospital Besar Singapura (SGH) dan divisyen pembedahan dan onkologi pembedahan NCCS yang memimpin program itu.

Program yang dipanggil 'Precision Medicine In Liver Cancer Across An Asia-Pacific Network' (PLANet 2.0) itu akan melibatkan dua kajian klinikal.

Kededua kajian klinikal itu akan berlangsung serentak di hospital awam dan institusi barah di sini, serta 11 hospital di rantau Asia-Pasifik.

Sesetengah pesakit akan memulakan rawatan mulai bulan depan.

Di Singapura, barah hati merupakan penyebab ketiga paling biasa kematian akibat barah pada lelaki dan yang kelima paling biasa pada wanita.

Ia agak sukar untuk didiagnos di peringkat awal kerana hati merupakan organ dalaman dan sebaik simptom muncul, barah sudahpun merebak, kata Profesor Chow.

Peluang penyakit berulang bagi kededua barah hati awal dan lanjut adalah tinggi.

Selepas membuang ketumbuhan pada pesakit yang menghidapi penyakit itu di peringkat awal, tiada terapi sedia ada untuk mengelakkan ketumbuhan itu daripada berulang.

"Ketidakupayaan ini untuk mengelakkan ketumbuhan daripada kembali semula meski selepas didiagnos awal (dan dengan pembedahan) adalah sebab mengapa peluang hidup bagi pesakit dengan barah hati awal tidak sebaik mereka yang menghidapi peringkat awal penyakit barah buah dada, kolorektal atau paru-paru," kata Profesor Chow.

Bagi rawatan barah hati yang menyasarkan seluruh tubuh, buat masa ini, imunoterapi merupakan cara paling berkesan, tetapi hanya sehingga 30 peratus pesakit yang memberikan respons terhadap rawatan tersebut.