LEBIH 2.5 juta kertas undi dan dokumen lain yang digunakan semasa pilihan raya umum tahun lalu telah dibakar semalam, sebahagian proses memastikan rahsia undi.

Kotak-kotak yang ditutup rapi mengandungi kertas undi dan dokumen tersebut telah dibawa pada 8.05 pagi daripada peti besi di Mahkamah Tinggi ke Loji Pembakaran Tuas South.

Di bawah undang-undang, peti undi harus ditutup dan disimpan dalam jagaan yang selamat selama enam bulan setelah dihitung pada akhir pengundian.

Ia kemudian dihapuskan di hadapan saksi - termasuk calon pilihan raya daripada pelbagai parti, ejen mereka serta pegawai jabatan pilihan raya - untuk memastikan undi kekal rahsia.

Anggota Parlimen Yeo Wan Ling (GRC Pasir Ris-Punggol) dan Pemimpin Pembangkang yang juga ketua Parti Pekerja, Encik Pritam Singh, turut hadir semasa proses pembakaran semalam.