DALAM kalangan 30 kes jangkitan baru Covid-19 yang menetap di dormitori pekerja asing, 26 daripada mereka telah dikenal pasti awal sebagai kontak kes sebelum ini. Mereka malah dikesan ketika menjalani kuarantin dan melalui ujian Covid-19 bagi mengesahkan keadaan mereka dan mengelakkan jangkitan lanjutan berlaku.
Baki empat kes pula dikesan menerusi ujian pengawasan seperti Ujian Rutin Yang Dijadualkan secara dwimingguan ke atas pekerja yang menetap di dormitori serta ujian bagi mengesan tanda jangkitan pernafasan akut. Ini membolehkan kes dikenal pasti lebih awal termasuk yang tidak menampakkan sebarang tanda jangkitan.
Demikian jelas Kementerian Kesihatan (MOH) dalam kenyataannya pada Selasa malam (25 Ogos).
Sehingga 12 tengah hari, 31 kes jangkitan baru dikenal pasti. Selain 30 kes di dormitori, satu kes pula adalah kes import melibatkan penduduk tetap Singapura yang pulang ke sini dari India pada 13 Ogos lalu. Beliau telah diberi Notis Jangan Keluar Rumah sejurus tiba di Singapura dan diuji positif dalam tempoh tersebut.
Lagi 230 kes pula sudah dibenarkan pulang dari hospital atau kemudahan pengasingan masyarakat. 78 kes masih dirawat di hospital dalam keadaan mantap atau beransur pulih.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg