Tiga beradik lelaki warga Amerika Syarikat, yang sedang bercuti di Singapura, telah mengaku bersalah memiliki pisau semasa bersemuka dengan pemilik gerai bubur di Orchard Plaza.
Albert Max Martinez-Arizala, 25 tahun, Alexis Jesus Martinez-Arizala, 21 tahun, dan Alejandro Martinez-Arizala Jr, 18 tahun, masing-masing mengaku bersalah atas tuduhan bersenjatakan pisau yang boleh menyebabkan kematian pada 5 Disember.
Albert dijatuhi hukuman penjara enam minggu, manakala Alexis dijatuhi hukuman penjara empat minggu. Alejandro dijatuhi perintah penahanan selama 14 hari. Pesalah yang diberi perintah sedemikian tidak mendapat rekod jenayah selepas dibebaskan.
Timbalan Pendakwa Raya Joelle Loy berkata, adik-beradik itu tiba di Singapura pada 26 Julai 2024. Selepas mendaftar masuk ke sebuah hotel, mereka melawat dua kelab malam.
Mereka bergerak ke kelab ketiga di kawasan Orchard sekitar jam 5 pagi pada 27 Julai, tetapi mendapati ia telah ditutup.
Albert meninggalkan adik-beradiknya untuk mengeluarkan wang tunai, tetapi ia mengambil masa lebih sejam kerana dia menghadapi masalah di mesin pengeluaran wang (ATM).
Sementara menunggu, Alexis dan Alejandro pergi ke Gerai Bubur Tai Heng Teochew, yang terletak di tingkat satu Plaza Orchard.
Mereka menghampiri dua wanita yang duduk di meja di gerai itu, dan Alexis bercakap dengan mereka sambil bersandar pada papan pembahagi ruang (partition).
Melihat perkara ini, pemilik gerai Encik Zhang Zhiqiang memberi amaran supaya jangan bersandar, kerana ia berbahaya. Alexis tidak menerima teguran pemilik gerai dan menjawab dengan marah.
Seorang lelaki yang mengaku beliau teman lelaki salah seorang wanita itu kemudian menghampiri dua beradik itu dan bertanya sama ada mereka mengenali teman wanitanya. Mereka berkata tidak, tetapi menambah bahawa mereka cuba untuk mengenali mereka.
Pertengkaran berlaku antara mereka dan dua beradik itu memberi isyarat untuk bergaduh.
DPP Loy berkata bahawa sekurang-kurangnya tiga orang pelalu-lalang, cuba campur tangan untuk meredakan keadaan.
Setelah berjumpa kembali dengan Albert, Alexis dan Alejandro berbohong dan berkata kepada abang mereka mereka telah diserang oleh lima orang di sebuah gerai makan. Mereka menambah ingin bersemuka dengan mereka.
Melihat kemarahan adik-beradiknya, Albert bersetuju untuk kembali menyerang mereka yang telah mengganggu adik-adiknya dan mereka bertiga singgah di pasar raya berhampiran untuk membeli tiga pisau, kuali dan sebotol cecair pencuci bilik mandi. Setiap pisau mempunyai bilah sepanjang 18 sentimeter.
Pada sekitar 9 pagi mereka kembali ke gerai bubur, yang mempunyai kira-kita sembilan pelanggan ketika itu.
Tiga beradik itu mendesak pekerja untuk memberitahu di mana pemiliknya.
Albert mengacukan pisaunya ke arah seorang pekerja gerai, dan meminta identiti orang yang menyerang adiknya. Pekerja itu menjawab bahawa dia hanya seorang pekerja, dan menyuruh mereka pergi.
Tiga beradik itu masih berkeras untuk bertemu pemiliknya, tetapi diberitahu beliau sudah pergi.
Seorang lagi pemilik bersama gerai itu yang menyedari ancaman pisau yang sedang berlaku, memaklumkan kepada pihak polis.
Albert kemudian menuntut pampasan $300 tetapi ditolak. Dia menurunkan pampasan ke $200, tetapi pemilik bersama gerai itu enggan membayar.
Mereka bertiga kemudian bergegas meninggalkan premis itu, dan menuju ke pusat beli-belah Orchard Point di mana mereka membuang pisau dan kuali di dalam tandas.
Pegawai polis ternampak Alexis dan Alejandro di pusat beli-belah itu sekitar 9.20 pagi, dan ketiga-tiga beradik itu ditangkap pada sekitar jam 12 tengah hari.
DPP Loy berkata adalah ‘nasib baik’ walaupun terdapat senjata, yang boleh menyebabkan kecederaan serius atau bahkan kematian, tiada siapa yang cedera.
Peguam adik-beradik itu, Encik A. Rajandran, berkata sebelum perjalanan mereka ke Singapura, tiga pemuda itu telah diserang oleh sekumpulan besar dan dirompak di Thailand.
Beliau berkata adik-beradik itu mengalami masalah mental, tetapi mengakui tidak ada kaitan sebab dengan kesalahan di Singapura.
Individu yang bersenjata yang berkemungkinan menyebabkan kematian boleh dipenjara hingga dua tahun, didenda, atau kedua-duanya sekali.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg