RESTORAN Pizza Hut telah membersihkan secara terperinci tiga cawangannya selepas enam kes Covid-19 melibatkan pekerjanya didedahkan Kementerian Kesihatan (MOH) pada Isnin malam (24 Mei).
Kakitangan yang mempunyai kontak dengan kes yang disahkan kini dalam kuarantin atau menjalani Notis Jangan Keluar Rumah, kata Pizza Hut dalam pos Facebook pada Selasa (25 Mei).
Empat kakitangan Pizza Hut di cawangan Punggol Plaza dan seorang pengirim makanan di cawangan Havelock II diuji positif Covid-19. Mereka disertakan dalam kelompok pengirim makanan McDonald's yang mulanya disahkan pada Sabtu lalu (22 Mei).
Dalam kalangan mereka adalah pelajar Sekolah Menengah Peicai berusia 15 tahun dan pelajar Sekolah Menengah Greendale berusia 16 tahun yang bekerja sambilan di cawangan Punggol Plaza.
Seorang pelayan berusia 21 tahun di cawangan Pizza Hut di Westgate yang ditutup sejak 22 Mei juga diuji positif koronavirus pada Isnin. Anggota keluarganya, wanita 24 tahun, juga diuji positif pada hari yang sama.
Tiga cawangan Pizza Hut ini pula ditutup selama dua minggu sebagai langkah berjaga-jaga bagi mengelakkan jangkitan virus, kata Pizza Hut.
Dalam lampiran posnya, Pizza Hut menggalakkan agar pelanggan yang mengunjungi tiga cawangan ini menghubungi MOH bagi langkah selanjutnya.
Restoran ini juga menambah ia akan terus mengambil langkah berjaga-jaga bagi memastikan keselamatan pelanggan terjamin termasuk dalam hal pengurusan beratur yang lebih tegas, jarak selamat antara pelanggan dan khidmat tanpa kontak.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg