Topik diikuti
Pergi ke BHku3 ditahan ICA kerana gagal berhenti di ruang ketibaan Pusat Pemeriksaan Tuas
3 ditahan ICA kerana gagal berhenti di ruang ketibaan Pusat Pemeriksaan Tuas
3 ditahan ICA kerana gagal berhenti di ruang ketibaan Pusat Pemeriksaan Tuas
PENGUASA Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) telah menahan dua lelaki dan seorang wanita kerana gagal berhenti di ruang ketibaan pelepasan imigresen di Pusat Pemeriksaan Tuas dan kesalahan lain.
Sekitar 2.14 pagi semalam, sebuah kenderaan berdaftar Malaysia yang dipandu lelaki Singapura mengelakkan diri di ruang pelepasan di Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB), Malaysia.
Ia memecut laju menuju ke Pusat Pemeriksaan Tuas sedang ia dikejar Polis Trafik Malaysia.
Kenderaan ini dikesan seorang pegawai polis tambahan, yang ditugaskan berada di pintu masuk Pusat Pemeriksaan Tuas, menghala ke Malaysia.
Pegawai itu dengan segera mengaktifkan penggera dan pusat pemeriksaan itu pun ditutup tanpa berlengah. Lelaki itu kemudian memaksa untuk memandu masuk ke Singapura menerusi laluan pelepasan motosikal.
Bagaimanapun, laluan itu terlalu sempit dan kenderaan berkenaan tidak berupaya bergerak lagi selepas merempuh kaunter.
Seorang pegawai ICA mengalami luka pada buku lali kanannya. Pemandu itu pula ditahan ICA.
Dua penumpang dalam kenderaan itu, seorang lelaki warga China dan seorang wanita warga Vietnam cuba melarikan diri dengan berjalan kaki tetapi ditahan pegawai polis tambahan.
Wanita Vietnam itu mengalami kecederaan selepas terjatuh ketika dia cuba melarikan diri.
Kededuanya didakwa tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah dan selanjutnya ditahan.
Siasatan awal menunjukkan pemandu kenderaan itu sedang dicari polis dan Biro Narkotik Pusat (CNB). Dia didakwa memiliki pasport Singapura yang diubah suai.
Ujian air kencingnya pula menunjukkan pemandu itu positif dadah.
Siasatan masih dijalankan.
ICA memandang serius sebarang langkah memasuki Singapura secara haram. Mereka yang didapati bersalah boleh dipenjara hingga enam bulan dengan sekurang-kurangnya tiga sebatan rotan.
