Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

3 institusi jalin kerjasama bidang pendidikan kesihatan masyarakat

Oct 25, 2023 | 4:48 PM
TANDATANGANI PERJANJIAN: Dua Memorandum Persefahaman (MOU) ditandatangani antara Institut Pendidikan Teknikal (ITE) dan Exercise is Medicine Singapore (EIMS), serta antara ITE dan Hospital Wanita dan Kanak-Kanak KK (KKH), pada Rabu di Kolej ITE Barat yang dihadiri Setiausaha Parlimen Kanan (Kesihatan merangkap Undang-Undang), Cik Rahayu Mahzam.
TANDATANGANI PERJANJIAN: Dua Memorandum Persefahaman (MOU) ditandatangani antara Institut Pendidikan Teknikal (ITE) dan Exercise is Medicine Singapore (EIMS), serta antara ITE dan Hospital Wanita dan Kanak-Kanak KK (KKH), pada Rabu di Kolej ITE Barat yang dihadiri Setiausaha Parlimen Kanan (Kesihatan merangkap Undang-Undang), Cik Rahayu Mahzam. - Foto BH oleh KHALID BABA

Tiga institusi setempat telah memeterai dua memorandum persefahaman (MOU) bagi menjalin kerjasama dalam bidang pendidikan untuk kesihatan masyarakat menerusi pendekatan sains senaman, penjagaan pencegahan kesihatan  dan kehidupan aktif.

Kerjasama yang dirasmikan pada Rabu di Kolej ITE Barat ini melibatkan Institut Pendidikan Teknikal (ITE) dan Exercise is Medicine Singapore (EIMS) di bawah Hospital Besar Changi (CGH), serta di antara ITE dan Hospital Wanita dan Kanak-Kanak KK (KKH).

Setiausaha Parlimen Kanan (Kesihatan merangkap Undang-Undang), Cik Rahayu Mahzam, dalam ucapannya berkata penandatanganan antara MOU dengan EIMS dan KKH itu “menandakan permulaan kerjasama antara pendidik, profesional industri dan pelajar”.

MOU yang berlangsung selama lima tahun itu akan memberi lebih banyak peluang pembelajaran berasaskan pengalaman untuk pelajar ITE, seperti penglibatan dalam projek industri dan penyelidikan, serta memperluaskan pilihan dan laluan kerjaya dalam sektor penjagaan kesihatan.

Semasa ditemui Berita Harian, Adriana Ibrahim, 18 tahun, pelajar peringkat Nitec Lanjutan ITE atau ‘Higher Nitec’ dalam bidang pengurusan sukan, berkata kerjasama yang terjalin adalah sangat berfaedah untuk pelajar sepertinya, yang menghargai pengalaman menjalani latihan amali sebagai pembantu ahli fisioterapi di klinik swasta di Novena.

“Misalnya, saya belajar cara memeriksa pelbagai keadaan kecederaan yang berbeza seperti bengkak tendon kaki dan memberikan rawatan yang tepat.

“Pengalaman ini memberi saya keyakinan dan kemahiran praktikal yang diperlukan untuk kerjaya dalam penjagaan kesihatan.”

Selain itu, Adriana berkongsi tentang pengalamannya menyumbang kepada penyelidikan bagi masalah kegemukan kanak-kanak di bawah umur lapan tahun dengan kerjasama pensyarah serta ahli fisioterapi di bawah program ‘KKH Lite’ pada September 2022.

Selain itu, seminar ‘Think Health’ yang bertemakan ‘Participate-Prevent-Progress’, juga telah dilancarkan buat julung-julung kalinya oleh ITE, dengan barisan penceramah berpengalaman termasuk Dr Michael Wong, Pengarah Kumpulan Sistem Kesihatan Serantau SingHealth.

“Seminar itu menekankan kepentingan hidup aktif, pencegahan penyakit kronik dan memastikan kita boleh maju bersama sebagai sebuah negara, sejajar dengan usaha nasional Singapura untuk memajukan penjagaan pencegahan dan huluan di bawah inisiatif Healthier SG, yang dilancarkan oleh Kementerian Kesihatan (MOM) pada Julai,” tambah Cik Rahayu.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg