Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

3 kematian berkaitan denggi di kelompok aktif terbesar di Jurong West

May 5, 2018 | 3:23 PM
KES DENGGI: MOH dan NEA berkata 60 kes denggi dilaporkan di kelompok denggi terbesar sejauh ini bagi tahun ini di Jurong West Street 91 dan 92.
KES DENGGI: MOH dan NEA berkata 60 kes denggi dilaporkan di kelompok denggi terbesar sejauh ini bagi tahun ini di Jurong West Street 91 dan 92. - FOTO SHIN MIN DAILY NEWS

SERAMAI tiga orang yang tinggal di kelompok denggi yang aktif di Jurong West telah meninggal dunia akibat demam denggi, menurut Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) dan Kementerian Kesihatan (MOH) menerusi satu kenyataan bersama hari ini (5 Mei).

Antara tiga individu itu, salah seorang daripada mereka merupakan seorang wanita warga Singapura berusia 68 tahun yang meninggal dunia semasa di luar negara pada 13 April lalu.

Penyakit itu turut meragut nyawa seorang lelaki warga Singapura berusia 41 tahun dan seorang wanita warga Singapura berusia 63 tahun.

Kedua-duanya meninggal dunia Khamis lalu.

Menurut kenyataan bersama itu, sebanyak 60 kes denggi telah dilaporkan di kelompok denggi terbesar sejauh ini bagi tahun ini, iaitu di Jurong West Street 91 dan 92.

Blok-blok yang terjejas termasuk Blok 933, 940, 943, 945, 946, 947, 948, 949, 950 dan 952 di Jurong West Street 91 dan Blok 920 dan 928 di Jurong West Street 92.

Menurut laman web NEA, kawasan Jurong West Street 91 dan 92 merupakan kawasan risiko tinggi dengan lebih 10 kes.

Sebanyak 32 kes denggi telah dilaporkan di kawasan itu dalam tempoh dua minggu lalu manakala 60 kes pula dilaporkan sejak kelompok itu bermula.

Dalam pada itu, MOH dan NEA turut mengucapkan takziah kepada keluarga tiga individu yang meninggal dunia akibat denggi itu.

"Kami sedang menyiasat faktor yang mungkin menyumbang kepada kes yang serius di kelompok itu," kata mereka.

Sejak kelompok itu dilaporkan pada 3 April, NEA juga telah mengerahkan 80 pegawai untuk memeriksa dan menghapuskan pembiakan nyamuk di kawasan itu.

Sebanyak 117 tempat pembiakan dikesan sehingga Khamis lalu.

NEA juga telah meningkatkan usaha pemeriksaan dan mendekati masyarakat, dengan mengerahkan 60 lagi pegawai di kawasan itu.

Penduduk juga digalak membenarkan pegawai NEA menyembur racun serangga dalam rumah mereka bagi membunuh nyamuk yang dijangkiti.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg