SERAMAI tiga lagi warga emas meninggal dunia akibat komplikasi Covid-19, menjadikan jumlah kematian kepada 76 orang di Singapura.
Jumlah kematian pada September kini mencapai 21 orang, melebihi jumlah 18 kematian pada bulan Ogos.
Dalam kenyataannya pada malam Sabtu (25 Sep), Kementerian Kesihatan (MOM) turut mengesahkan sebanyak 1,443 kes baru Covid-19 di Singapura.
Angka harian itu merosot daripada 1,650 kes pada Jumaat (24 Sep). Ini juga menandakan hari kelima berturut-turut jumlah kes telah melebihi 1,000.
Kes baru itu terdiri daripada 1,053 dalam masyarakat dan 371 di asrama. Dalam kalangan kes baru itu ialah seramai 280 warga emas berumur 60 tahun ke atas.
Baki 19 kes merupakan kes import.
Tiga kematian yang dilaporkan pada Sabtu termasuk dua lelaki Singapura dan seorang wanita Singapura.
Kes pertama ialah seorang lelaki berusia 71 tahun, yang telah menerima vaksin dan mempunyai sejarah fibrilasi atrium (atrial fibrillation), tirotoksikosis (thyrotoxicosis) dan kolesterol tinggi.
Lelaki kedua, 62 tahun, pula telah menerima satu dos vaksin, dan mempunyai sejarah diabetes, serta darah dan kolesterol tinggi.
Wanita berusia 71 tahun yang meninggal dunia pula mempunyai sejarah diabetes, kegagalan ginjal peringkat akhir, serta darah dan kolesterol tinggi.
Sejak Sabtu lalu, MOH telah melaporkan 17 orang yang meninggal dunia akibat virus itu.
Lagi 67 kanak-kanak berusia 12 tahun telah dijangkiti Covid-19, kata MOH.
Secara keseluruhannya, jangkitan Covid-19 di Singapura kini mencecah 85,953.
Seramai 1,142 pesakit Covid-19 kini berada di hospital, naik daripada 1,092 pada hari sebelumnya.
Daripada angka itu, seramai 165 memerlukan oksigen tambahan, naik daripada 162 daripada hari sebelumnya.
Seramai 27 berada dalam keadaan kritikal di unit jagaan rapi, naik daripada 23 pada Jumaat.
Dalam kalangan pesakit yang sakit teruk, seramai 158 merupakan warga emas yang berusia 60 tahun ke atas.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg