Topik diikuti
Pergi ke BHku3 lagi warga SG meninggal dunia ekoran Covid-19
Kes baru catat lebih 1,000 orang bagi kali ketiga dalam empat hari
3 lagi warga SG meninggal dunia ekoran Covid-19
TIGA warga Singapura telah meninggal dunia akibat kesan penyakit Covid-19, menjadikan angka korban tempatan mencecah 65 orang, lapor Kementerian Kesihatan (MOH) kelmarin.
Ini sedang Singapura menyaksikan bilangan kes melebihi 1,000 bagi kali ketiga dalam empat hari berturut-turut.
Sejumlah 1,178 kes Covid-19 dilaporkan di Singapura kelmarin, kata MOH.
Memberi perincian, MOH berkata salah seorang daripada yang terkorban itu merupakan wanita berusia 62 tahun, yang meninggal dunia Isnin lalu selepas berada di hospital bagi jangka yang lama.
Beliau dikesan positif Covid-19 pada 23 Julai dan kemudian dibawa ke Hospital Khoo Teck Puat pada keesokan hari.
Beliau didapati belum menerima vaksin Covid-19 dan mempunyai sejarah penyakit darah tinggi dan kolesterol tinggi.
Mangsa kedua pula merupakan lelaki berusia 74 tahun yang meninggal dunia pada 19 September.
Beliau dimasukkan ke Hospital Tan Tock Seng pada 31 Ogos bagi satu keadaan kesihatan berasingan dan dikesan negatif Covid-19 setelah mendaftar masuk hospital itu.
Namun satu satu lagi ujian telah dijalankan ke atasnya pada 9 September lalu, dan beliau didapati positif Covid-19.
Lelaki tersebut telah menerima dos pertama vaksin, namun menerima dos kedua.
Beliau turut mempunyai sejarah penyakit kencing manis kronik serta penyakit darah dan kolesterol tinggi.
Individu ketiga yang terkorban adalah seorang lelaki berusia 83 tahun yang meninggal dunia pada 20 September.
Beliau dibawa ke Hospital Besar Ng Teng Fong pada 15 September bagi simptom-simptom Covid-19 dan diuji positif pada hari itu.
Beliau sudah divaksinasi dan mempunyai sejarah Penyakit Paru-Paru Obstruktif Kronik (COPD) dan penyakit pneumonia kronik.
Keadaan kesihatan sebegitu dan juga usianya yang sudah berada dalam peringkat lanjut membuatnya lebih terdedah kepada kesan jangkitan yang lebih teruk, jelas MOH.
Terdapat 837 kes baru Covid-19 yang dilaporkan pada Selasa minggu lalu.
Kelmarin, sebanyak 1,038 kes merupakan kes jangkitan dalam masyarakat yang mana 311 daripada kes-kes tersebut membabitkan warga emas berusia 60 ke atas.
Lagi 135 kes pula melibatkan penghuni dormitori.
Baki lima kes merupakan kes import.
Seramai 1,109 pesakit yang dilaporkan sedang menerima rawatan di hospital, berbanding 1,055 kes Isnin lalu.
Sebanyak 147 kes adalah kes jangkitan teruk yang memerlukan rawatan oksigen susulan dan 17 pesakit pula sedang berada dalam keadaan kritikal di unit penjagaan rapi.
Daripada mereka yang menghidapi jangkitan teruk, 135 kes merupakan warga emas berusia 60 ke atas.
Bilangan kes jangkitan Covid-19 di Singapura secara keseluruhan kini mencecah 79,899 kes.