Tiga penerbangan dari Lapangan Terbang Changi terpaksa dibatalkan pada 1 Mei ekoran letusan Gunung Ruang, yang terletak di Sulawesi Utara, Indonesia.
Menjawab pertanyaan akhbar The Straits Times, Lapangan Terbang Changi berkata penerbangan itu dijadualkan berlepas dari Singapura ke Balikpapan (TR222), Manado (TR216) dan Kuching (AK1776).
Penerbangan Scoot TR222 dan TR216 dijadualkan berlepas dari Lapangan Terbang Changi masing-masing pada 7.55 pagi dan 9.25 pagi.
Sementara itu, penerbangan AirAsia AK1776 dijadualkan berlepas pada 11.45 pagi, lapor akhbar The Straits Times.
Beberapa siri letusan dari Gunung Ruang, bermula 16 April, memaksa ribuan orang berpindah ke tempat yang lebih selamat.
Abu daripada gunung berapi itu telah mendorong syarikat penerbangan membatalkan penerbangan ke dan dari Sabah dan Sarawak, Malaysia.
Sekurang-kurangnya 27 penerbangan di Sabah dan lapan penerbangan di Sarawak dibatalkan pada 18 April, menjejas lebih 20,000 penumpang, ekoran letusan gunung berapi itu.
Syarikat penerbangan Malaysia Airlines dan AirAsia membatalkan penerbangan antara Kuala Lumpur dengan Sabah serta Sarawak itu disebabkan risiko keselamatan letusan itu terhadap penerbangan.
Jabatan Meteorologi Malaysia mengeluarkan amaran pada 30 April bahawa abu daripada gunung berapi itu boleh memasuki ruang udara Borneo dan mengganggu operasi penerbangan sehingga 5 Mei.
Gunung berapi sekali lagi meletus pada 30 April, memuntahkan abu dan lahar selepas letusan awal bulan ini menyebabkan ratusan penduduk dipindahkan dan lapangan terbang ditutup.
Pusat Vulkanologi dan Tebatan Bahaya Geologi (PVMBG) Indonesia juga menaikkan tahap amaran kepada paras tertinggi, berikutan letusan pagi 30 April, menggesa penduduk supaya tidak mendekati gunung berapi itu, menurut laman webnya.
Pulau Ruang di wilayah Sulawesi Utara menempatkan lebih 800 penduduk, kebanyakannya telah dipindahkan menyusuli letusan awal April.
Tidak jelas berapa ramai lagi yang dipindahkan pada 30 April.
Rakaman di media sosial pada 30 April, yang tidak dapat disahkan dengan segera oleh Reuters, menunjukkan lahar mengalir menuruni gunung berapi itu kira-kira 100 kilometer dari ibu kota wilayah Manado.
Pihak berkuasa pengangkutan menutup sementara lapangan terbang Manado selepas letusan awal manakala batu dan abu yang jatuh memusnahkan rumah dan memaksa hospital berdekatan dipindahkan.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg