Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

300 famili susah Tampines dapat makanan percuma dari kedai OTH

11 kedai makanan dan minuman derma lebih 1,000 bungkus makanan antara 13 April hingga 10 Mei
Apr 15, 2021 | 5:30 AM
HAB INKLUSIF: Pengarah Kanan OTH, Encik Suhaimi Rafdi, berkata oleh kerana matlamat hab itu ialah membentuk, menghubungkan dan memperkaya masyarakat, ia dan rakan kongsi F&B memutuskan membantu keluarga kurang mampu sempena Ramadan. - Foto fail BH
HAB INKLUSIF: Pengarah Kanan OTH, Encik Suhaimi Rafdi, berkata oleh kerana matlamat hab itu ialah membentuk, menghubungkan dan memperkaya masyarakat, ia dan rakan kongsi F&B memutuskan membantu keluarga kurang mampu sempena Ramadan. - Foto fail BH -

SEBANYAK 300 keluarga kurang berkemampuan yang tinggal di GRC Tampines akan mendapat manfaat daripada satu inisiatif yang julung-julung kali diadakan oleh Our Tampines Hub (OTH).

Inisiatif diberi nama Pay It Forward itu melibatkan 11 kedai makanan dan minuman OTH menderma lebih 1,000 bungkus makanan dari 13 April hingga 10 Mei.

Antara kedai makanan itu ialah Crave, Saap Saap Thai, Rumah Minang, Subway, Wok Hey, Express by Papparich dan Maslina.

Inisiatif tersebut menambah kepada pelbagai usaha yang dilakukan oleh OTH sepanjang tiga tahun lalu bagi menjangkau golongan kurang bernasib baik, termasuk warga emas, kanak-kanak kurang berkemampuan dan belia berisiko tinggi yang memerlukan sokongan masyarakat.

Penerima bantuan itu akan diberi surat dan boleh mendapatkan kupon makanan pada hari tertentu dari Kaunter Khidmat Pelanggan OTH. Kupon ini boleh digunakan di kesemua 11 kedai tersebut.

Pengarah Kanan OTH, Encik Suhaimi Rafdi, berkata OTH ialah hab bersepadu inklusif dari segi gaya hidup dan apa yang ditawarkannya kepada penduduk.

"Sempena Ramadan, saya rasa sesuai untuk kita berhenti seketika untuk memikirkan segmen masyarakat yang mungkin tidak begitu bertuah untuk menikmati apa yang kita ada.

"Oleh kerana matlamat hab ini ialah membentuk, menghubungkan dan memperkaya masyarakat, OTH dan rakan kongsi F&B memutuskan untuk 'Pay It Forward' dan mendekati keluarga kurang berkemampuan dalam kalangan kita," katanya.

Sementara itu, penduduk Tampines dan pengunjung OTH berpeluang memilih pelbagai tawaran kuih Hari Raya dan makanan lain yang dijual 20 peniaga dari rumah.

Makanan dan kuih Raya itu akan dijual di kedai fizikal yang terletak di SPACE, di tingkat dua OTH dari 29 April hingga 12 Mei.

Orang ramai juga boleh mengunjungi kedai dalam talian di tampineshomebakers.promonade.sg dari sekarang hingga 10 Mei.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg