SEKITAR 3,000 flat Bina Ikut Tempahan (BTO) akan dibina di sebahagian timur kawasan Dover Forest merentasi tiga projek perumahan, dengan yang pertama akan dilancarkan pada November.
Projek pertama terdiri daripada 1,330 flat tiga bilik dan empat bilik di blok dengan ketinggian berbeza bagi membolehkan penduduk menikmati pemandangan di Ulu Pandan Canal dan estet rumah privet Holland Grove.
Blok berdepan dengan Ulu Pandan Canal adalah perumahan rendah manakala berhampiran dengan Commonwealth Avenue West pula perumahan dengan tingkat tinggi, kata Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) pada Khamis (13 Oktober).
Estet perumahan baru seperti Ulu Pandan direka secara peka bagi mengurangkan impak pada sekitaran dan di mana yang mampu, menerapkan alam semula jadi bagi memperbaiki cara hidup penduduk, kata Menteri Negara Kanan (Pembangunan Negara), Tan Kiat How, yang memberi butiran terperinci projek itu pada Khamis.
Sebagai sebahagian generasi baru rumah HDB, pembangunan di Ulu Pandan akan menerapkan unsur kehijauan dan kebiruan seperti alam semula jadi dan kawasan perairan dalam landskap perumahan termasuk mengekalkan alam semula jadi, kata Encik Tan dalam satu acara HDB di HDB Hub di Toa Payoh.
Blok-blok ini akan mempunyai ruang bercucuk tanam bersama di tingkat tertentu bangunan tersebut dan taman di kawasan bumbung flat.
Projek ini akan dilancarkan pada November dan tidak jauh daripada stesen MRT Dover. Ia juga merupakan kejiranan pertama HDB yang menggalak kurang penggunaan kereta milik sendiri dalam kalangan penduduk serta lebih kebergantungan pada pengangkutan awam.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg