SEBANYAK 32 burung penguin telah dipindahkan pada Jumaat lalu dari Taman Burung Jurong ke habitat baru seluas 3,000 meter persegi di Ocean Network Express Penguin Cove, Bird Paradise di Mandai.
Penguin-penguin itu pada Selasa telah dilepaskan dari "kawasan pantai" kurungan mereka ke kolam buat pertama kalinya.
Penghijrahan penguin telah dirancang dengan teliti. Penguin yang lebih kecil diambil dan diletakkan ke dalam peti berpetak, manakala penguin yang lebih besar masuk ke dalam peti itu sendiri.
Demi memastikan peralihan yang lancar, setiap peti diletak dengan ais di dalam trak yang dikekalkan pada suhu 12 darjah Celcius sama seperti dalam pameran penguin lama mereka.
Empat spesies penguin seperti Gentoo, Humboldt, King dan Northern Rockhopper diperkenalkan ke habitat baru yang menampilkan dua tangki air masin dengan kedalaman air tujuh meter.
Penguin-penguin telah dilepaskan ke tingkat dua Ocean Network Express Penguin Cove di habitat aras pantai, untuk menggalakkan mereka menyesuaikan diri dengan sekitaran baru dan meneroka bahagian paling dalam tangki itu.
Habitat sub-Antartika itu menampilkan Cahaya Selatan atau Southern Lights sendiri yang juga dikenali sebagai Aurora Australis di dalam kubah.
Selain itu, cahaya di teluk itu direka untuk meniru kitaran siang dan malam di Kepulauan Falkland yang terletak di Sub-Antartika, membolehkan kitaran biologi semulajadi mereka mengikut musim di hemisfera selatan.
Kini, Kumpulan Mandai Wildlife Group mempunyai rancangan untuk mengembangkan koloni penguin dengan adanya habitat baru yang lebih besar ini.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg