Topik diikuti
Pergi ke BHku322 pengunjung KTV HomeTeamNS Khatib diuji negatif Covid-19: MOH
322 pengunjung KTV HomeTeamNS Khatib diuji negatif Covid-19: MOH
KEMENTERIAN Kesihatan (MOH) telah menamatkan proses pemeriksaan dan ujian terhadap kesemua individu yang telah mengunjungi pusat karaoke Jewel Music Box KTV di kelab riadah HomeTeamNS Khatib pada 1 dan 2 Ogos lalu.
Dalam kenyataannya Isnin malam (24 Ogos), MOH menjelaskan pusat karaoke tersebut tidak beroperasi sewaktu kunjungan dibuat tanpa sebarang kegiatan menyanyi diadakan. Meskipun risiko jangkitan bagi pengunjung pusat karaoke itu dianggap rendah, operasi KTV dihentikan sebagai langkah berjaga-jaga menyusuli pengesanan tiga kes yang mengunjungi KTV tersebut pada 1 dan 2 Ogos lalu.
Kesemuanya, 322 individu diuji dan semua hasil keputusan ujian adalah negatif, kata MOH.
Dalam pada itu, MOH telah mengenal pasti lagi 51 kes jangkitan baru sehingga 12 tengah hari Isnin (24 Ogos).
Manakala 423 kes pula telah dibenarkan pulang dari hospital atau kemudahan pengasingan awam. Terdapat 84 kes pula masih dirawat di hospital dengan kebanyakannya kian pulih atau berada dalam keadaan mantap.
Sementara itu, dengan pengesanan satu kes yang berkait dengan lima kes sebelum ini, terbentuk satu kelompok baru di Dormitori Tuas View (70 Tuas South Avenue 1).