Subuh
5:38
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18

3,500 hadiri acara ‘Subuh Macam Jumaat’ di Masjid Yusof Ishak

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

3,500 hadiri acara ‘Subuh Macam Jumaat’ di Masjid Yusof Ishak

Jan 07, 2024 | 05:04 PM



Apabila tiba di Masjid Yusof Ishak pada dinihari 6 Januari, kedua-dua pengasas syarikat perkhidmatan Islam, Al Fajr SG, Encik Muhammad Noor Tijany Nezam dan Encik Hamzah Salim ragu-ragu akan sambutan acara yang bakal berlangsung pada waktu subuh.

Mengambil ilham daripada kempen ‘Geng Subuh Macam Jumaat’, yang dikelola selebriti Malaysia, Alif Satar baru-baru ini, Al Fajr SG membuat keputusan untuk mengadakan kempen serupa di Singapura.

Syarikatnya Al Fajr SG, yang juga bermakna waktu subuh di Singapura, bertujuan menerapkan semangat waktu subuh, melambangkan permulaan setiap hari sebagai peluang pembaharuan.

Kempen itu bermula dengan solat subuh berjemaah di Masjid Yusof Ishak di Woodlands lalu disusuli dengan acara berjalan beramai-ramai selepas subuh.

“Sebenarnya kami pernah mengendalikan acara berjalan selepas subuh pada November lalu dan menerima sekitar 80 peserta.

“Melihat kempen Alif Satar menerima sambutan hangat, ia mencetuskan idea untuk bangkitkan kempen dan semangat sedemikian di Singapura. Ini juga dengan sokongan ramai rakan-rakan kami,” ujar Encik Muhammad Noor Tijany, yang juga dikenali sebagai Donjany, apabila dihubungi Berita Harian (BH).


Encik Muhammad Noor Tijany, 25 tahun, dan Encik Hamzah, 26 tahun, hanya mempunyai beberapa hari untuk merancang acara itu dan memulakannya pada 3 Januari.

Sebagai persiapan bagi acara itu, kedua-dua pengasas melancarkan pendaftaran dalam talian agar dapat menganggarkan jumlah jemaah yang bakal hadir.

“Kami menerima sekitar 2,000 pendaftaran. Kami pun terfikir mungkin tidak semua akan datang. Namun pada pagi subuh itu, kami sangat teruja dengan jumlah jemaah yang tidak putus-putus membanjiri masjid.

“Kesemua lima lantai termasuk basement tempat letak kereta juga diisi penuh dengan jemaah,” kata Encik Muhammad Noor Tijany.

Pengerusi lembaga pentadbir Masjid Yusof Ishak, Encik Yacob Ahmad memberitahu BH pihaknya menerima sekurang-kurangnya 3,500 jemaah pada pagi 6 Januari.

Biasanya, 300 hingga 350 jemaah yang hadir pada waktu subuh semasa hujung minggu.

Encik Muhammad Noor Tijany berkata jemaah yang hadir termasuk golongan muda dan juga yang berusia. Jemaah wanita juga mengisi dua lantai, katanya.

“Masjid (kami) secara berterusan menggalak dan menyokong inisiatif yang baik yang selaras dengan ajaran Islam.

“Bagi acara ini, Masjid Yusof Ishak gembira dapat menjadi sebahagian daripada inisiatif menggalak masyarakat agar memakmurkan masjid dengan menunaikan solat berjemaah dan galakkan senaman sebagai sebahagian daripada gaya hidup sihat,” ulas Encik Yacob yang juga merupakan Superintenden Daerah Masjid (Daerah Utara).

Menyusuli kejayaan acara tersebut, Encik Muhammad Noor Tijany mengulas beberapa masjid lain di Singapura juga telah menghubungi Al Fajr SG untuk mengendalikan acara serupa di masjid mereka.

“Objektif kami adalah untuk menggalak lebih ramai golongan muda ke masjid dan agar mereka dapat mewujudkan sekurang-kurangnya satu kenangan indah di masjid,” ujar Encik Muhammad Noor Tijany mengenai kritikan yang diterimanya mengenai acara tersebut.

Beliau juga berkata mereka akan mula merancang kempen yang sama di masjid lain menjelang beberapa minggu ini di kawasan timur pula. – NUR SYUHRAH HASSAN




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >