PENILAIAN peringkat saringan bagi memilih 36 cerpen terbaik sekali gus membolehkan penulisnya mengikuti bengkel Mencari Kristal secara eksklusif telah selesai dijalankan.
Memberikan ulasannya, salah seorang pengadil, Encik Noor Effendy Ibrahim, menarik perhatian bahawa tema Seram membolehkan penulis meneroka pelbagai jalan cerita.
"Ada di antara karya (yang dinilai) begitu mudah kita jangkakan pengakhiran jalan cerita.
"Malah, ada secara mudah mengaitkan kisah seram dengan kuasa ghaib dan menggunakan agama atau keimanan sebagai jalan keluar.
"Namun jika penulis lebih teliti, karya mereka akan lebih berisi dan padat sekiranya memanfaatkan ilmu moden atau kontemporari seperti fizik, perubatan, kejuruteraan, sejarah, kejadian yang didasari wacana sosiopolitik.
"Ini akan meningkatkan tahap kesedaran pembaca kontemporari tentang tema seram," ujarnya.
Beliau selanjutnya berkongsi pendekatan dalam meningkatkan mutu pengkaryaan, penulis katanya mesti memahami sejauh mana jangkauan yang mereka inginkan.
"Penulis tidak harus membataskan khalayak mereka kepada masyarakat penutur bahasa Melayu sahaja. Karya mereka mesti diuji dan bersaing di peringkat serantau, malah global.
"Persoalan yang mesti mereka fikirkan ialah, untuk siapa penulis berkarya berbanding untuk siapakah karya ini ditulis atau khalayak mana lagi yang harus membaca karya penulis?," ujar seniman berkelulusan Sarjana Kesenian dalam Amalan Kontemporari, yang juga penerima Anugerah Budaya Yayasan Budaya Singapura dan Dewan Perniagaan dan Perusahaan Jepun (JCCI) itu.
Tiga pengadil, termasuk Cik Hanim Mohd Saleh dan Encik Juffri Supa'at, mengambil masa lebih seminggu untuk memilih 36 karya terbaik.
Daripada 75 karya yang diterima, pengadil sebulat suara memilih karya yang ditulis peserta berikut:
Kesemua mereka telah dimaklumkan menerusi e-mel.
Mereka akan mengikuti enam sesi bengkel sehari yang dijalankan selama enam minggu.
Pembimbing bengkel ialah Suratman Markasan dan Dr Noridah Kamari (Singapura); Dr Fahd Razy dan Dr Shamsudin Othman (Malaysia); Ayu Utami dan Laura Prinsloo (Indonesia).
Bengkel Mencari Kristal akan berlangsung setiap Sabtu dari 9 pagi hingga 5 petang, bermula 23 Februari hingga 30 Mac ini.
Bengkel juga dibuka kepada orang ramai, dengan setiap sesi bengkel dikenakan bayaran $20.
Namun, sekiranya seseorang peserta ingin mengikuti kesemua sesi bengkel, ia boleh membeli pakej bernilai $100 bagi enam sesi.
Pendaftaran dibuka hingga 15 Februari ini.
Pendaftaran dan pembayaran boleh dilakukan secara dalam talian di https://mk2019.sphevents.com.sg
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg