Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

367 langgar Notis Jangan Keluar Rumah, 130 langgar Perintah Kuarantin

Feb 3, 2021 | 5:30 AM
JALANI KUARANTIN: Mereka yang tiba di Lapangan Terbang Changi perlu menjalani kuarantin. - Foto fail
JALANI KUARANTIN: Mereka yang tiba di Lapangan Terbang Changi perlu menjalani kuarantin. - Foto fail -

SEBANYAK 367 pelanggaran Notis Jangan Keluar Rumah (SHN) dan 130 pelanggaran Perintah Kuarantin (QO) telah dilaporkan sehingga 25 Januari lalu, kata Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri), Profesor Madya Muhammad Faishal Ibrahim.

Mereka yang melanggar SHN dan QO boleh didakwa di bawah Akta Penyakit Berjangkit dan boleh dikenakan denda sehingga $10,000, hukuman penjara sehingga enam bulan, atau kedua-duanya, kata beliau dalam menjawab soalan berkenaan pelanggaran SHN dan QO serta tindakan yang diambil di Parlimen semalam.

Sehingga 25 Januari lalu, sebanyak 308,442 SHN dan 268,385 QO telah dikeluarkan.

Memberi contoh tindakan yang diambil, Dr Faishal berkata seorang warga Singapura yang mengelak daripada menjalani QO di rumah sebanyak empat kali dan enggan mematuhi perintah itu telah dihukum penjara tiga bulan pada 17 Julai tahun lalu.

Seorang lagi warga Singapura, yang kembali ke tanah air dari Myanmar pada Mac tahun lalu, pula dihukum penjara enam minggu kerana melanggar SHN dengan keluar makan bak kut teh di pusat penjaja makanan dan kemudian pergi ke pasar raya.

Selain tindakan undang-undang, Dr Faishal berkata agensi pemerintah juga boleh mengambil tindakan pentadbiran terhadap mereka yang melanggar SHN atau QO.

"Contohnya, pada November 2020, MOM menarik balik pas kerja empat pemegang pas kerja yang melanggar syarat SHN mereka. Tahun lalu, seorang penduduk tetap Singapura hilang status PRnya dan dilarang daripada memasuki Singapura semula selepas dia melanggar syarat SHN," kata beliau.

Dr Faishal turut mengongsi beberapa huraian teknologi yang digunakan untuk memantau individu yang sedang menjalani SHN dan QO.

Antaranya, sejak Ogos tahun lalu, semua individu yang menjalani SHN di kediaman mereka perlu memakai alat pemantauan elektronik yang diberikan kepada mereka selepas melepasi imigresen.

Alat itu, yang perlu dihidupkan apabila mereka sampai ke kediaman mereka, menggunakan GPS dan isyarat 4G/Bluetooth untuk menentukan jika individu berada di dalam kediaman mereka semasa tempoh SHN 14 hari mereka.

Individu yang menggunakan alat itu mungkin menerima notifikasi pada alat itu dan perlu mengakuinya tepat pada masanya.

"Sebarang percubaan untuk meninggalkan kediaman mereka atau mengusik alat elektronik itu akan mengakibatkan amaran dikirimkan kepada pihak berkuasa, yang kemudian akan melakukan siasatan susulan, dan mengambil tindakan penguatkuasaan lanjut jika perlu," kata Dr Faishal.

Selain itu, individu di bawah kuarantin juga perlu memakai alat pemantauan elektronik demi memastikan mereka tidak melanggar QO.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg