Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

3,840 ditangkap, didenda miliki ‘vape’ dari Jul hingga Sep 2024

Oct 23, 2024 | 6:29 PM
Seramai 3,840 individu ditangkap dan dikenakan denda di luar mahkamah kerana memiliki atau menggunakan rokok elektronik atau ‘vape’ dari 1 Julai hingga 30 September 2024.
Seramai 3,840 individu ditangkap dan dikenakan denda di luar mahkamah kerana memiliki atau menggunakan rokok elektronik atau ‘vape’ dari 1 Julai hingga 30 September 2024. - Foto fail

Seramai 3,840 individu telah ditangkap dan dikenakan denda di luar mahkamah (composition fine) kerana memiliki atau menggunakan rokok elektronik atau vape dari 1 Julai hingga 30 September 2024.

Jumlah tersebut adalah peningkatan 52 peratus daripada suku sebelumnya.

Menurut kenyataan bersama yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan (MOH) dan Penguasa Sains Kesihatan (HSA) pada 23 Oktober, ini termasuk 743 kes pelajar yang ditangkap menggunakan vape, yang dirujuk oleh sekolah dan institut pengajian tinggi (IHL).

Kenyataan tersebut juga melaporkan 591 kes yang dikesan semasa rondaan penguatkuasaan masyarakat, 44 kes yang dikesan melalui operasi penguatkuasaan di sekitar IHL, dan 16 kes yang dikesan di pusat pemeriksaan.

Dalam pada itu, HSA telah memantau kandungan dalam talian untuk mengenal pasti individu yang menggunakan vape di kawasan umum, dan dirakam menggunakan atau bergambar dengan vape dalam foto atau video.

Pada Julai dan Ogos 2024, HSA mengenal pasti dan mengenakan denda di luar mahkamah ke atas lima pesalah sedemikian – empat lelaki dan seorang wanita berumur 13 hingga 34 tahun – yang menyiarkan video dan gambar mereka dengan vape di akaun Instagram dan TikTok mereka, yang telah dihapuskan.

Sekolah dan IHL telah meningkatkan pendidikan pencegahan untuk mengukuhkan mesej melarang vape dan kepentingan mengekalkan gaya hidup bebas nikotin.

Ini termasuk mendidik pelajar bahawa vape tidak dibenarkan, serta kesan bahaya vape terhadap individu, keluarga dan masyarakat.

HSA turut mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap seorang lelaki berusia 49 tahun yang menggunakan vape dalam kabin MRT pada September 2024 yang telah dirakamkan di media sosial.

HSA turut memeriksa rumah pesalah itu di Tampines dan satu vape dan beberapa peralatan dadah telah ditemui.

Lelaki itu juga dikehendaki oleh Biro Narkotik Pusat (CNB) dan sedang membantu HSA dan CNB dalam siasatan.

Dari 1 Julai hingga 30 September 2024, HSA dan Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) menjalankan beberapa operasi bersama di pusat pemeriksaan udara, darat dan laut.

Seramai 16 daripada 4,000 pelawat yang diperiksa telah ditangkap memiliki vape.

“Syarikat pengangkutan dan pemandu yang membawa produk tembakau terlarang ke Singapura akan dikenakan tindakan penguatkuasaan dan warga asing yang disabit dengan kesalahan akan dihantar pulang dan dihalang daripada memasuki semula Singapura,” kata MOH dan HSA.

Di bawah Akta Tembakau (Kawalan Iklan dan Penjualan), pemilikan, penggunaan atau pembelian vape boleh dikenakan denda maksimum $2,000.

Pesalah yang diberi peluang membayar denda setelah menerima notis, digalakkan agar berbuat demikian.

Mereka yang gagal berbuat demikian sebelum tarikh akhir notis akan dikenakan hukuman lebih berat di mahkamah.

Orang awam yang mempunyai maklumat mengenai kegiatan mengimport, mengedar, menjual atau menawarkan penjualan vape boleh menghubungi Cawangan Peraturan Tembakau HSA di talian 6684-2036 atau 6684-2037 semasa waktu pejabat dari 9 pagi hingga 5.30 petang, Isnin hingga Jumaat.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg