SERAMAI 39 orang ditangkap kerana bersosial di premis hiburan haram dalam operasi terkini polis kelmarin, menyusuli terbentuknya kelompok jangkitan Covid-19 di KTV minggu lalu.
Dalam satu kenyataannya semalam, polis berkata mereka memberkas tiga lelaki berusia antara 24 dan 37 tahun kerana membekalkan arak tanpa lesen.
Mereka dipercayai menjadi pengendali pusat hiburan sekitar Selegie Road dan Tagore Lane.
Baki 36 individu, terdiri daripada 16 lelaki dan 20 wanita, pula disiasat kerana tidak mengikut peraturan jarak selamat. Mereka berusia antara 20 dan 38 tahun.
Dalam operasi itu, polis juga merampas peralatan karaoke, botol arak dan tin bir dari pusat hiburan ini.
Menurut polis lagi, hiburan awam dan arak dipercayai disediakan di tempat-tempat itu tanpa lesen sah.
Polis menasihati orang ramai supaya mengambil serius peraturan jarak selamat secara serius.
"Polis mengambil pandangan serius terhadap sikap tidak bertanggungjawab berhubung pelanggaran langkah jarak selamat dan pesalah akan ditangani sejajar dengan undang-undang yang ditetapkan.
"Mereka yang didapati bersalah membekalkan arak dan menyediakan hiburan awam tanpa lesen sah boleh didenda hingga $20,000 bagi setiap tuduhan.
"Mereka yang dituduh melanggar undang-undang jarak selamat pula boleh dipenjara hingga enam bulan, didenda hingga $10,000 atau dikenakan kedua-dua hukuman," ujar polis.
Pusat KTV menjadi tumpuan apabila ia sekarang merupakan kelompok jangkitan Covid-19 dengan jumlah kes terbanyak - 172 kes hingga akhbar ini diterbit semalam.
Antara Selasa dan Khamis lalu, polis memberkas 29 wanita berusia antara 20 hingga 47 tahun dalam operasi yang disasarkan terhadap 27 kelab KTV yang beroperasi sebagai penyedia khidmat makanan dan minuman (F&B).
Di bawah sekatan Covid-19, operasi pusat hiburan malam, termasuk kelab KTV, dilarang.
Namun, mereka dibenarkan mengubah suai perniagaan mereka bagi menawarkan makanan dan minuman.
Seramai 10 wanita berusia antara 21 hingga 34 tahun yang diberkas didapati adalah pendatang asing terlarang daripada pelbagai kerakyatan dengan pas lawatan tempoh pendek dan pas kerja mereka telah dibatalkan.
Mereka diperintah meninggalkan Singapura.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg