Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

4 dalam 10 kerja sektor F&B perlu direka semula

May 25, 2023 | 2:40 PM
PERLU UBAH UNTUK KEKAL MENARIK: Tenaga kerja Singapura yang semakin tua dan aspirasi kerjaya belia yang berubah telah membawa kepada persaingan lebih besar bagi pekerja dalam sektor makanan dan minuman.
PERLU UBAH UNTUK KEKAL MENARIK: Tenaga kerja Singapura yang semakin tua dan aspirasi kerjaya belia yang berubah telah membawa kepada persaingan lebih besar bagi pekerja dalam sektor makanan dan minuman. - Foto ST

EMPAT dalam 10 pekerjaan dalam industri perkhidmatan makanan akan perlu direka semula dalam tiga tahun mendatang untuk memastikan sektor itu kekal menarik bagi warga Singapura.

Perubahan sederhana hingga meluas akan diperlukan untuk meningkatkan skop dan tanggungjawab peranan, sebagai respons kepada kekurangan pekerja dan kemajuan teknologi.

Pekerjaan dalam sektor itu yang telah dikenal pasti untuk direka semula termasuk kru perkhidmatan dan pembantu dapur, cef eksekutif, pengarah operasi dan pengurus pelbagai cawangan.

Perubahan ini termasuk dalam Perancangan Perubahan Pekerjaan (JTM) bagi sektor Perkhidmatan Makanan yang diumumkan oleh Menteri Negara (Perdagangan dan Perusahaan), Cik Low Yen Ling, pada Khamis di Restaurant Asia 2023, iaitu simposium makanan dan minuman (F&B) selama tiga hari, dan pameran perdagangan di Pusat Ekspo dan Konvensyen Sands.

Dibangunkan bersama Enterprise Singapore (Enterprise SG), Tenaga Kerja Singapura (WSG), SkillsFuture Singapore (SSG) dan Kementerian Tenaga Manusia (MOM) dengan firma khidmat profesional Ernst & Young, pelan transformasi itu mengesyorkan strategi bagi majikan dan pekerja meningkatkan daya saing dan keupayaan mereka, lapor The Straits Times.

“JTM akan berfungsi sebagai kompas untuk membimbing syarikat dan pekerja dalam perjalanan transformasi pekerjaan mereka. Ia akan membantu mereka bersedia untuk masa depan kerja dalam sektor perkhidmatan makanan apabila persekitaran perniagaan berkembang,” kata Cik Low, sambil menyatakan bahawa industri perkhidmatan makanan menyumbang $4.5 bilion kepada ekonomi Singapura dan menggajikan sekitar 235,000 pekerja pada 2022.

Menurut Jabatan Perangkaan, sektor itu terdiri daripada hampir 12,000 syarikat F&B.

Cik Low berkata selain peralihan dalam keutamaan pengguna ke arah kemudahan, perkhidmatan yang diperibadikan dan pengalaman serta kesedaran tentang amalan mampan, kadar penggunaan teknologi untuk menambah atau melaksanakan tugas merentas operasi juga telah dipercepatkan disebabkan oleh pandemik Covid-19.

Tenaga kerja tempatan yang semakin tua dan aspirasi kerjaya belia yang berubah juga telah membawa kepada persaingan lebih besar bagi pekerja.

Itu antara sebab terdapat keperluan bagi syarikat mereka semula pekerjaan mereka dan meneroka pilihan seperti pekerja sambilan, tambahnya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg