DENGAN rentak pendigitalan yang lebih pesat di tempat kerja, empat dalam lima majikan mengakui ia kini lebih memerlukan pekerja yang mempunyai kemahiran dan pengetahuan pengekodan, tidak kira peranan yang mereka pegang.
Satu pertiga majikan pula mendedahkan bahawa lebih 50 peratus pekerjaan dalam pertubuhan mereka memerlukan kemahiran pengekodan asas atau lanjutan.
Demikian menurut laporan industri yang dikeluarkan Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) dan NTUC LearningHub bagi meninjau pentingnya pengetahuan pengekodan, permintaan bagi pekerjaan yang memerlukan pengetahuan teknologi serta keutamaan yang diletakkan terhadap kemahiran tertentu.
Laporan tersebut berdasarkan tinjauan ke atas 200 pemimpin perniagaan dari industri berbeza di Singapura, dan temu ramah dengan pengamal dan pakar industri dari NTUC LearningHub serta rakan kongsi mereka.
Ia turut mengemukakan saranan bagaimana pengekod dari pelbagai latar belakang dan keupayaan berbeza boleh mempertingkat kemahiran mereka untuk terus maju dalam kerjaya.
Ramai majikan yang optimistik tentang perkembangan pekerjaan berkaitan teknologi di Singapura.
Separuh daripada majikan yang ditinjau berkata jumlah pekerjaan yang memerlukan kemahiran pengekodan atau pengetahuan teknologi asas semakin bertambah.
Dalam pada itu, dua dalam lima majikan berkata jumlah pekerjaan yang memerlukan kemahiran pengekodan atau pengetahuan teknologi lanjutan semakin bertambah.
Menyentuh tentang hasil dapatan tersebut, Pengarah Teknologi Infokom NTUC LearningHub Encik Anthony Chew berkata, dalam dunia digital sekarang kemahiran pengekodan bukan hanya untuk pekerja dalam sektor teknologi.
"Kemahiran pengekodan merupakan kemahiran kritikal untuk pekerja yang bukan dalam bidang teknologi juga kerana ia membolehkan mereka membawa nilai kepada pertubuhan.
"Dengan lebih banyak syarikat kini mempunyai wadah yang menggunakan kod ringkas, lebih banyak peluang dibuka bagi perniagaan untuk mereka aplikasi, melaksanakan analisis data, membentuk model pembelajaran mesin dan memastikan tugasan dapat dilakukan secara automatik.
"Ini bermakna majikan kini mencari pekerja yang mempunyai kemahiran pengekodan dan dapat menggunakan teknologi tersebut," katanya.
Tambahan lagi, dengan kemahiran pengekodan, pekerja boleh menyumbang secara berkesan dalam pasukan teknikal dan memahami teknologi dengan lebih pantas dan ini akan meningkatkan kecekapan syarikat dalam melaksanakan inisiaitif digital, tambah Encik Chew.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg