Empat ekor kucing di Toa Payoh didakwa dikelar antara 20 dengan 23 September.
Menurut catatan Facebook oleh seorang pengguna bernama Angelina Ang, insiden kelar itu didakwa berlaku tiga kali secara berasingan.
“Saya berkongsi untuk meningkatkan kesedaran tentang situasi serius di mana dua kucing kesayangan kami telah dicederakan secara berturut-turut. Nampaknya kucing-kucing itu telah dikelar,” tulisnya.
Pada 20 September, Angelina berkata seekor kucing berwarna coklat ditemui cedera di Blok 36 Lorong 5 Toa Payoh, dan seorang yang baik hati di kawasan kejiranan membawa kucing itu untuk dirawat di klinik veterinar di Toa Payoh.
Pada malam berikutnya, pada 21 September, seekor kucing hitam pula turut ditemui cedera dan telah dibawa di bawah jagaan Persatuan Cegah Kekejaman Ke Atas Binatang (SPCA).
Dua lagi kucing ditemui pada 23 September dengan kesan kelar di bahagian belakang mereka di Blok 200 Lorong 1 Toa Payoh.
Kededua kucing dihantar ke doktor haiwan, dan kucing putih diserahkan kepada SPCA untuk rawatan lanjut.
Dalam gambar yang dikongsinya di Facebook, kecederaan kucing kelihatan seperti luka yang dalam.
Angelina berkongsi bahawa beliau berharap dapat meningkatkan kesedaran dalam masyarakat untuk melindungi kucing yang tinggal di situ dan merayu meminta sebarang maklumat mengenai kejadian tersebut.
Pengarah eksekutif SPCA, Cik Aarthi Sankar, mengesahkan mereka telah menerima dua laporan berasingan berhubung dakwaan penderaan kucing pada 22 dan 23 September.
Menurut doktor haiwan SPCA, kedua-dua kucing itu mengalami luka yang serupa.
Seekor kucing didapati mengalami tulang yang patah pada bahagian kaki belakang kiri dan pubis (tulang pelvik) serta pada sendi sacroiliac, yang menghubungkan pelvik dengan tulang belakang.
“Berdasarkan bukti diagnostik dan gambar, doktor haiwan menentukan bahawa kecederaan adalah konsisten dengan penggunaan objek tajam,” kata Cik Sankar.
SPCA telah meningkatkan kesedaran tentang kes itu dan turut bekerjasama dengan masyarakat penjaga kucing di kawasan itu untuk mengumpul bukti dan terus memantau keadaan.
Pengarah kumpulan penguatkuasaan dan penyiasatan Lembaga Taman Negara (NParks), Cik Jessica Kwok, mengesahkan bahawa ia menerima maklum balas daripada SPCA mengenai dakwaan penderaan kucing dan sedang menjalankan siasatan.
Sesiapa yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu boleh menghubungi SPCA di talian hotline 24/7 mereka di 6287 5355 (samb. 9) atau inspector@spca.org.sg.
Mereka juga boleh melaporkan maklumat tersebut kepada NParks melalui laman webnya atau melalui Pusat Tindak Balas Haiwan di 1800-476-1600.
Pada 2021, seorang lelaki berusia 37 tahun telah ditangkap dan didakwa selepas mengelar kucing di Ang Mo Kio.
Lelaki itu dijatuhkan hukuman penjara 12 minggu.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg