Empat lelaki dihadapkan ke mahkamah dalam kes penipuan selepas dua daripada mereka didakwa cuba mendapatkan pinjaman gadai janji melebihi $6 juta dengan menjadikan sebuah hartanah berhalaman milik individu tidak dikenali sebagai cagaran.

The Straits Times (ST) sebelum ini mendedahkan taktik licik berkenaan pada Mei.

Muslihat itu melibatkan dokumen palsu, kecurian identiti serta kaveat yang didaftarkan ke atas hartanah berkenaan melalui Penguasa Tanah Singapura (SLA) tanpa pengetahuan pemiliknya.

Pemain biola bebas, Encik Elgar Kwek, 49 tahun, bersama ibunya yang juga pemilik kediaman di Katong itu tidak mempunyai sebarang rancangan untuk menjual rumah berkenaan.

Pasangan Encik Kwek mula mengesyaki sesuatu yang mencurigakan apabila beberapa individu tidak dikenali muncul di rumah mereka pada April bagi sesuatu yang kelihatan seperti pemeriksaan prajualan.

Pemilik hartanah berkenaan tiada sebarang hubungan dengan keempat-empat lelaki yang didakwa pada 10 November itu.

Ernest Fan Zhenhao, 39 tahun, berdepan sejumlah enam tuduhan, merangkumi dua tuduhan menipu, tiga tuduhan menggunakan rekod elektronik palsu dan satu tuduhan memiliki kad pengenalan palsu.

Lazarus Ching Fei Fan, 27 tahun, pula berdepan dua tuduhan menipu, manakala Terence Tan Jun Ming, 29 tahun, dikenakan satu tuduhan menipu.

Seorang lagi tertuduh, Andrew Li Xianneng, 36 tahun, didakwa bersubahat dalam pengeluaran kad pengenalan secara tidak sah.

Encik Kwek membuat laporan polis pada April selepas menerima surat daripada SLA dan mendapati satu kaveat telah didaftarkan ke atas hartanahnya.

Kaveat ialah dokumen undang-undang yang didaftarkan dengan SLA oleh seseorang yang ingin melaksanakan pemilihan pembelian hartanah. 

Encik Kwek, yang menghubungi ST sejurus membuat laporan polis, menegaskan beliau tidak pernah memberi kebenaran bagi pendaftaran kaveat tersebut.

Siasatan polis mendedahkan bahawa Fan didakwa menyamar sebagai Encik Kwek serta menggunakan dokumen pengenalan diri palsu bagi proses permohonan pinjaman berkenaan.

Menurut dokumen mahkamah, dia didakwa berpakat dengan seorang lelaki, Cozen Nova Khor, untuk menggunakan halaman Singpass palsu sebanyak tiga kali pada 2025.

Fan dan Ching turut bersekongkol dengan Khor untuk memperdaya dua syarikat – VM Capital dan Comfort Credit – agar meluluskan pinjaman gadai janji berjumlah lebih $6 juta secara keseluruhan pada 2025.

Dokumen mahkamah tidak mendedahkan butiran lanjut mengenai Khor, yang tidak didakwa pada 10 November.

Tan pula dituduh berpakat dengan Khor untuk cuba menipu VM Capital sebanyak $3.3 juta menerusi muslihat yang sama.

Mahkamah diberitahu bahawa apabila kededua syarikat berkenaan mengemukakan surat tawaran pinjaman, Fan didakwa menyamar sebagai Encik Kwek untuk menandatanganinya.

Dia juga didakwa memiliki kad pengenalan palsu yang kononnya milik Encik Kwek pada Mac.

Helah berkenaan melibatkan tindakan tertuduh mengambil kesempatan atas pekerjaan Encik Kwek sebagai pemain biola serta perniagaan sampingannya yang menyewakan hartanah miliknya bagi sesi mengambil gambar dan video.

Pada Februari dan Mac, Ching didakwa menghubungi Encik Kwek bagi mendapatkan khidmat persembahan biolanya.

Sewaktu pemilik rumah itu tiada di kediaman, Tan didakwa mengatur akses ke hartanah berkenaan bagi membolehkan jurunilai menjalankan penilaian hartanah tanpa pengetahuan Encik Kwek.

Tan juga dikatakan membantu dalam urusan penyerahan surat hak milik tanah antara dua firma guaman itu.

Pegawai dari Divisyen Polis Bedok menahan empat lelaki warga Singapura itu dalam satu operasi dua hari pada April.

Pihak berkuasa turut merampas dokumen pengenalan diri palsu serta beberapa telefon bimbit.

Sesi praperbicaraan bagi kes Tan dijadual berlangsung pada 19 November, manakala kes melibatkan Fan, Ching dan Li ditangguhkan ke Disember.