Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

4 pemandu ditahan bawa penumpang antara S’pura-M’sia tanpa izin

LTA ingatkan orang ramai supaya elak guna khidmat demi keselamatan sendiri
Aug 8, 2024 | 7:25 PM
Pemandu yang ditangkap menyediakan perkhidmatan sewa menyalahi undang-undang, boleh didenda sehingga $3,000, penjara sehingga enam bulan, atau kedua-duanya sekali.
Pemandu yang ditangkap menyediakan perkhidmatan sewa menyalahi undang-undang, boleh didenda sehingga $3,000, penjara sehingga enam bulan, atau kedua-duanya sekali. - Foto FACEBOOK LTA

Empat pemandu telah ditahan oleh Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) pada 7 Ogos kerana menyediakan perkhidmatan pemandu rentas sempadan secara haram antara Singapura dengan Malaysia.

Kenderaan mereka yang didaftarkan di Malaysia turut dirampas, menurut LTA dalam catatan Facebook pada 8 Ogos.

LTA menyatakan ia memandang serius kesalahan itu.

Pemandu yang ditangkap menyediakan perkhidmatan sewa dan mengenakan bayaran secara tidak sah, termasuk perjalanan rentas sempadan tanpa lesen kenderaan perkhidmatan awam yang sah, boleh didenda sehingga $3,000, penjara sehingga enam bulan, atau kedua-duanya sekali.

Selain itu, kenderaan yang terlibat boleh dirampas.

LTA mengingatkan orang ramai supaya mengelak menggunakan perkhidmatan itu demi keselamatan mereka sendiri.

“Untuk keselamatan anda, elakkan daripada menggunakan perkhidmatan ini kerana ia bukan sahaja menyalahi undang-undang, bahkan mungkin juga kekurangan perlindungan insurans yang mencukupi yang menimbulkan risiko serius kepada penumpang, sekiranya berlaku kemalangan,” kata agensi itu.

Pada Februari, LTA berkata empat pemandu telah ditahan semasa operasi penguatkuasaannya baru-baru ini kerana menyediakan perkhidmatan pengangkutan rentas sempadan yang sama.

Menteri Pengangkutan, Encik Chee Hong Tat, kemudian berkata beliau meminta LTA menjalankan operasi menyamar untuk menangkap pemandu yang ingkar.

Semakan The Straits Times pada 8 Ogos mendapati bahawa beberapa halaman Facebook, kumpulan Telegram, laman web dan lebih 20 penyenaraian di wadah dalam talian, Carousell, masih menawarkan perkhidmatan pemandu rentas sempadan yang disasarkan kepada pelancong dari Singapura.

Satu laman web dengan nombor talian Malaysia menawarkan perjalanan dari Singapura ke Mount Austin di Johor Bahru, dengan harga bermula $100 dengan kenderaan pelbagai guna.

Tidak disebutkan tentang perlindungan insurans atau lesen yang diperlukan untuk mengendalikan perkhidmatan rentas sempadan di laman web itu.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg