EMPAT haiwan jenis Tasmanian Devil dari Australia, masing-masing sebesar seekor anjing kecil, kini menetap di Night Safari.
Membuat penampilan sulung mereka dalam pameran baru pada kelmarin, haiwan pemangsa terancam ini akan menjadikan Singapura sebagai rumah tetap mereka.
Keempat-empat Tasmanian Devil tersebut diuruskan oleh Program Menyelamatkan Tasmanian Devil (STDP) Australia.
Program itu diperkenalkan sebagai usaha menangani penyakit kanser berjangkit yang mengakibatkan penurunan ketara dalam bilangan Tasmanian Devil dalam persekitaran liar semula jadi.
Haiwan ini hidup dalam persekitaran yang gelap seperti gua dan lubang di tanah, kata Encik David Schaap, pegawai kanan kehidupan liar dari Jabatan Sumber Asli dan Alam Sekitar Tasmania.
Penyakit kanser itu merebak dalam kalangan haiwan tersebut melalui sentuhan dan hubungan seksual. Ia kemudian menyebabkan tumor besar tumbuh di muka dan di sekitar mulut mereka, membuatkan haiwan itu susah makan.
Kebanyakan Tasmanian Devil yang menghidap penyakit itu akan mati kerana kelaparan.
Dengan lebih 80 peratus daripada populasi liar Tasmanian Devil terjejas sejak 1996, Encik Schaap berkata STDP berusaha membiakkan haiwan ini di zoo secara global untuk membina koloni di tempat lain, atau insurance colony, sebagai langkah penting menangani ancaman penyakit itu.
Koloni sebegini bagi haiwan terancam memastikan ia tidak pupus melalui program pemuliharaan dan pembiakan.
Usaha membawa haiwan tersebut ke Singapura dari koloni itu bermula pada 2018, dan banyak persiapan diperlukan sebelum zoo bersedia menerimanya, kata Dr Luis Carlos Neves, naib presiden penjagaan haiwan di Mandai Wildlife Group.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg