EMPAT wanita dan 13 lelaki, berumur antara 24 tahun dengan 61 tahun, diberkas kerana disyaki terlibat dalam penjualan peranti penstriman terlarang bernilai kira-kira $500,000.
Polis berkata, pegawai Jabatan Siasatan Jenayah (CID) melakukan serbuan serentak di beberapa kedai runcit di pusat beli-belah Sim Lim Square pada Selasa lalu.
Semasa operasi itu, lebih 2,500 set peranti penstriman haram, yang membolehkan pengguna mengakses kandungan tidak dibenarkan daripada sumber terlarang dalam talian, telah dirampas.
Siasatan polis sedang dijalankan.
Mereka yang didapati melanggar Akta Hak Cipta dengan membuat, berurusan, mengimport, mengedar atau menawarkan peranti atau perkhidmatan untuk mengakses karya tanpa kebenaran pemilik hak cipta boleh didenda sehingga $100,000, dipenjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali.
Polis berkata mereka memandang serius terhadap pelanggaran hak cipta intelek dan mengingatkan orang ramai bahawa pengedaran dan penjualan peranti penstriman terlarang adalah kesalahan serius.
Pada Mei lalu, The Straits Times melaporkan, kotak TV Android terlarang yang menawarkan akses kepada strim dalam talian atau kandungan cetak rompak dijual di Sim Lim Square, dengan sekurang-kurangnya tujuh kedai menjual kotak peranti itu.
Kebanyakan kotak itu juga didapati dijual dalam pasaran dalam talian Carousell, dengan penjual mendakwa bahawa barangan mereka adalah sahih.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg