
SEBANYAK 40,000 rak dwi-basikal - yang boleh menampung dua basikal pada satu rak - akan disediakan di 23 bandar Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) menjelang 2025, umum Menteri Kedua (Undang-undang merangkap Kewangan), Cik Indranee Rajah.
Cik Indranee menjawab pertanyaan Profesor Madya Jamus Lim (GRC Sengkang) di Parlimen pada Khamis (2 Mac) mengenai sama ada tingkat terendah tempat letak kereta bertingkat boleh digunakan semula untuk menjadi tempat letak basikal.
Tempat letak kereta bertingkat kini digunakan untuk pelbagai aktiviti, seperti bercucuk tanam di bandar.
Cik Indranee berkata: "Kami biasanya tidak menempatkan tempat letak basikal bersama tempat letak kereta sebab ini boleh menimbulkan isu keselamatan kepada penunggang basikal, terutamanya apabila kereta dan basikal perlu menggunakan lorong yang sama."
Bagaimanapun, beliau menambah bahawa permintaan sedemikian oleh mana-mana kawasan akan dipertimbangkan HDB berdasarkan setiap kes.
Ini termasuk mengambil kira kegunaan lain untuk tempat letak kereta dan sama ada kebimbangan keselamatan dan mana-mana perkara lain yang berkaitan boleh ditangani dengan sewajarnya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg