AGENSI tempatan dan majlis bandaran menerima sekitar 2,400 aduan berkenaan ayam di estet perumahan Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) dan 1,700 aduan di estet perumahan privet sepanjang empat tahun dari 2017 hingga 2021.
Ini dinyatakan Menteri Negara Kanan (Pembangunan Negara merangkap Perhubungan dan Penerangan), Encik Tan Kiat How, di Parlimen semalam.
"Untuk mengurangkan risiko penularan penyakit burung dan melindungi kesihatan manusia dan haiwan, kami secara amnya mengehadkan bilangan ayam itik yang boleh dibela di mana-mana tempat secara bukan komersial kepada 10 ekor.
"Tetapi bagi flat HDB, peraturannya lebih ketat, dan membela ayam itik tidak dibenarkan atas sebab kesihatan awam dan mengelakkan gangguan," ujar Encik Tan.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Encik Ang Wei Neng (GRC Jurong) mengenai aduan yang diterima berkaitan bunyi bising dan bau daripada ayam hidup di estet perumahan HDB dan privet.
Apabila HDB menerima aduan mengenai ayam dibela di flat HDB, ia bekerjasama dengan agensi lain untuk mendekati pemilik flat itu bagi mencari tempat lain untuk ayam mereka jika perlu, ujar Encik Tan.
Beliau menambah bahawa pemilik perumahan privet yang menyimpan ayam di hartanah mereka juga digesa mengurangkan gangguan kepada jiran mereka.
Di bawah Rangka Kerja Pengurusan Pertikaian Masyarakat, pihak yang bertikai boleh mendapatkan pengantaraan di Pusat Pengantaraan Masyarakat atau Tribunal Huraian Pertikaian Masyarakat bagi kes sukar dihurai.
"NParks (Lembaga Taman Negara) juga akan terus bekerjasama dengan rakan kerja kami untuk meningkatkan kesedaran awam mengenai pemeliharaan haiwan bertanggungjawab.
"NParks dan HDB akan menyemak dasar pemeliharaan haiwan dengan kerap untuk melindungi kesihatan awam, sambil mengimbangi keperluan pelbagai golongan dalam masyarakat," kata Encik Tan.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg